Berita yang baru diterima ini mungkin akan melegakan banyak pihak – menurut laporan Malaysiakini, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadualkan akan berkuatkuasa 1 September ini tidak akan dikenakan kepada jualan kereta penumpang yang dipasang secara pemasangan tempatan (CKD).

Menurut laporan itu, satu senarai telah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kastam diRaja Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy dan kenderaan penumpang bermotor CKD adalah termasuk dalam senarai berkenaan.

Pengecualian tersebut adalah termasuk dalam kategori sedan, pacuan empat roda, station wagon dan kereta lumba. Selain dari kereta, sebahagian alat ganti kenderaan juga akan terlibat dalam pengecualian ini, antaranya aksesori, pam bahan api dan juga injap cut-off bahan api.

Ini bermaksud, harga kereta dan juga alat ganti yang terlibat mungkin akan kekal seperti 1 Jun lalu apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikadarkan pada sifar peratus walaupun sistem SST mula berjalan pada September nanti. ‘Cuti cukai’ yang bermula Jun lalu secara jelas menunjukkan kesan positif apabila jumlah jualan kenderaan naik 50% berbanding Mei 2018.

KEMASKINITerdapat salah faham dari sumber berita iaitu Malaysiakini terhadap isu ini. Kereta masih lagi akan dikenakan cukai SST berkuatkuasa 1 September ini setelah penafian dibuat oleh pihak Kastam sendiri. Perincian lebih lanjut boleh ada baca pada artikel ini: Kastam nafi kenderaan penumpang CKD tak kena SST