Beberapa hari yang lalu, kami telah menyiarkan satu spyshot, berserta gambar risalah jualan sebuah model yang dikatakan sebagai Yamaha Exciter (atau dikenali sebagai Y15ZR di Malaysia) baru. Ternyata, ia sekarang sudah dipertontonkan secara rasmi kepada wakil media dalam satu majlis di Vietnam.

Cumanya, ia masih dipanggil sebagai Exciter 150, dan enjin serta asas motosikal ini masih lagi sama. Ia menggunakan enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc, bersama padanan kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm. Jumlah ini masih sama seperti Y15ZR yang dipasarkan di Malaysia.

Melalui pendedahan ini, ia sekaligus menyangkal berita sebelum ini yang menyatakan Exciter baru akan dilengkapi dengan enjin dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) 155 cc seperti YZF-R15 dan juga NVX155. Cumanya, walaupun masih menggunakan enjin 150 cc sama, Exciter baru ini telah diberi pelbagai peningkatan kelengkapan lain.

Ini termasuk paling utama adalah penampilannya, di mana pada bahagian hadapan, lampunya berbentuk baru dan kini menggunakan sistem LED, fender baru bagi menempatkan tayar hadapan lebih besar (saiz 90/80 R17), meter LCD satu warna, butang lampu tinggi (passing light), butang mematikan enjin (kill switch) serta penggera yang boleh ditekan untuk mengeluarkan bunyi.

Selain daripada itu, dimensi motosikal ini turut berubah sedikit di mana panjang dan tingginya bertambah masing-masing 15 mm dan 20 mm, tinggi tempat duduk bertambah 15 mm, manakala berat juga bertambah 2 kg. Berkemungkinan ini adalah kesan daripada penggunaan tayar hadapan lebih besar, dan suspensi belakang juga ditala semula kerana dalam risalah, gambar monoshock belakangnya terpapar bersama kelengkapan baru lain.

Bahagian lain pada motosikal ini masih lagi sama iaitu ia masih dilengkapi dengan brek cakera depan dan belakang, tangki bahan api 4.2 liter, lampu belakang LED serta tayar belakang saiz 120/70R17. Harga yang dikeluarkan untuk model baru ini pula adalah 47 juta dong, bersamaan sekitar RM8,200.