Ini ada perkembangan terbaru berkaitan pembayaran tol melalui peranti Radio Frequency Identification (RFID) yang sebelum ini dimaklumkan akan dilaksana sejak awal tahun 2018, tetapi masih tertangguh.
Pihak Touch ‘n Go telah pun mengumumkan bahawa ujian percubaan bagi peranti ini akan bermula pada 3 September nanti. Dan, sekiranya anda berminat untuk terlibat di dalam fasa awal percubaan ini, anda boleh mendaftarkan minat anda pada pautan ini. Touch ‘n Go akan berhubung dengan anda nanti untuk tindakan lanjut.
Ujian percubaan ini akan melibatkan lebuhraya-lebuhraya di sekitar Lembah Klang terlebih dahulu, dan hanya terbuka kepada mereka yang menggunakan kenderaan pendaftaran persendirian dalam Kelas 1 sahaja. Jenis-jenis kenderaan dalam kelas lain tidak termasuk dalam percubaan ini.
RFID akan menjadi kaedah baru pembayaran tol secara elektronik selepas ini. Ia menggunakan pelekat/tag RFID yang mempunyai chip frekuensi radio khas dan dipasang sama ada pada cermin depan atau bahagian lampu utama kenderaan, dan setiap satunya hanya khusus untuk kegunaan satu kenderaan.
Ketika melalui tol, pengimbas akan membaca frekuensi radio dari pelekat RFID berkenaan untuk mengenakan bayaran tol serta mengangkat palang. Pelekat berkenaan akan dihubungkan kepada Touch ‘n Go eWallet (bagi aplikasi IOS dan Android) yang bertindak sebagai penyimpan nilai semasa wang pengguna bagi tujuan ini.
Bagi mereka yang ingin terlibat dalam fasa percubaan ini, yuran bagi RFID akan dimansuhkan. Tetapi pengguna perlu menambah nilai Touch ‘n Go eWallet mereka untuk membolehkan pembayaran kadar tol dilakukan seperti biasa.
Dalam perkembangan yang sama, pengenalan RFID ini bermakna berakhirnya jualan peranti SmartTag. Tumpuan selepas ini akan diberikan untuk membuat persiapan penggunaan teknologi RFID ini di semua lebuhraya di Malaysia. Pemberhentian jualan peranti SmartTag adalah serta-merta. Tetapi, jika anda masih ingin menggunakan peranti berkenaan, jangan risau. Ia masih boleh digunakan seperti biasa.
Untuk keterangan lanjut berkaitan hal ini, anda boleh ikuti senarai FAQ yang disediakan ini. Kepada yang berminat untuk menjadi orang terawal menggunakan sistem RFID ini, jangan lupa untuk mendaftar segera.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.