GALERI: Nissan Skyline GT-R KPGC110 1973 ‘Kenmeri’ – GT-R yang diiktiraf paling rare dalam sejarah!

GALERI: Nissan Skyline GT-R KPGC110 1973 ‘Kenmeri’ – GT-R yang diiktiraf paling <em>rare</em> dalam sejarah!

Ok, untuk pembaca khususnya peminat JDM, antara kesemua generasi Nissan Skyline GT-R termasuk Nissan GT-R R35, generasi yang mana satu merupakan yang paling rare? Hakosuka GT-R? Tidak, jawapannya ialah Skyline GT-R generasi kedua iaitu model dengan kod casis KPGC110 keluaran tahun 1973 dan terkenal dengan nama panggilan Kenmeri GT-R.

Kenapa takhta GT-R paling rare ini dipegang oleh Kenmeri GT-R ini? Ceritanya begini, setelah Nissan menggantikan generasi Skyline C10 dengan generasi C110 pada tahun 1972, mereka membina sebuah lagi GT-R menerusi model baharu berkenaan bagi menggantikan Hakosuka GT-R KPGC10. Berbeza dengan Hakosuka, GT-R generasi kedua ini dibina terus pada badan dua pintu dan membuat kemunculan sulungnya di Tokyo Motor Show 1973.

Malangnya, krisis bahan api yang melanda dunia ketika era 70’an telah menyebabkan permintaan terhadap kereta-kereta berprestasi tinggi merudum. Selain dari model-model American Muscle yang terjejas teruk akibat krisis ini, tempiasnya turut terkena pada Kenmeri GT-R, dan Nissan hanya sempat memproduksi sebanyak 197 unit sebelum pengeluarannya dihentikan sepenuhnya – dan inilah sebabnya kenapa KPGC110 GT-R diiktiraf sebagai generasi GT-R paling rare dalam sejarah kerana jumlah pengeluarannya tidak sampai 200 unit.

GALERI: Nissan Skyline GT-R KPGC110 1973 ‘Kenmeri’ – GT-R yang diiktiraf paling <em>rare</em> dalam sejarah!

Nissan nyata agak kecewa dengan situasi berkenaan di mana Skyline C210 generasi berikutnya hanya mempunyai model 2000 GT-EX sebagai model paling berkuasa, begitu juga dengan generasi R30 dan R31 yang menampilkan varian flagship RS-Turbo dengan enjin 2.0 liter empat silinder FJ20. GT-R hanya bangkit semula menerusi model R32 yang muncul pada tahun 1989, menampilkan semula enjin enam-silinder – kali ini dengan RB26DETT yang disuap dua unit pengecas turbo.

Dengan jumlah yang begitu sedikit, untuk menemui Kenmeri GT-R ini juga amat sukar. Sekiranya terjumpa Kenmeri GT-R sama ada di dalam atau di luar Jepun, peratusannya sebagai GT-R asli adalah rendah dan berkemungkinan ia adalah model convert yang dihasilkan dari Skyline C110 Coupe standard.

Dan untuk pengetahuan anda juga, bagi menjadikan sebuah Skyline Coupe biasa kepada 100 peratus spesifikasi GT-R adalah hampir mustahil. Ini kerana selain dari abjad ‘P’ yang bermaksud GT-R pada kod casis KPGC110 tercatatkan pada nombor identiti kenderaan (VIN), usaha untuk mencari enjin GT-R asli iaitu enjin S20 2.0 liter enam-silinder DOHC dengan tiga karburator perlumbaan juga adalah perkara yang sukar.

Selain dari 197 unit enjin tersebut yang dipasangkan dalam perut Kenmeri GT-R, enjin berkenaan hanya boleh ditemui pada 1,945 unit Hakosuka GT-R 4- dan 2-pintu serta 420 unit Nissan Fairlady Z S30 432. Jadi sekiranya sebuah Kenmeri GT-R muncul depan mata, nak tahu sama ada ia asli atau tidak, lihat dulu enjinnya – dijana enjin S20, atau sekadar enjin enam-silinder SOHC dari siri-L biasa. Video dari Petrolicious di bawah antara contoh dua buah GT-R convert yang masih lagi menggunakan enjin L-Series.

Nissan Skyline GT-R KPGC110 1973 berwarna merah yang anda lihat pada galeri ini adalah contoh GT-R asli, dan ia sebenarnya adalah milik Nissan sendiri dan telah menjalani proses restorasi lengkap. Gambar ini diberikan kepada saya oleh rakan penulis dari paultan.org bahasa inggeris Danny Tan, yang menemuinya di ruang pameran Nissan Crossing terletak di Ginza, Tokyo hujung minggu lalu.

Menurut Nissan, fasiliti Nissan Crossing ini adalah pusat maklumat mereka yang berfungsi sebagai asas untuk komunikasi Mobiliti Pintar Nissan, dan ia menawarkan pengalaman pemanduan masa hadapan yang mengujakan kepada pelanggan. Skyline Kenmeri GT-R ini hanya akan dipamerkan bermula 4 September lalu hingga 21 September ini sahaja, dan ia akan digantikan dengan Nissan Fairlady Z-L 1977 selepas itu. Danny turut memberitahu bahawa Nissan GT-R R35 Nismo dan juga model konsep Nissan Vision 2020 turut dipamerkan ketika kunjungannya itu.

Oh ya, kenapa model ini digelar Kenmeri? Sebenarnya, ini adalah strategi pemasaran Nissan ketika Skyline generasi kedua (tidak termasuk model-model di bawah jenama Prince Motor Company) dilancarkan pada tahun 1972. Ketika itu, semua iklan televisyen untuk model Skyline C110 ini, sama ada dari versi 2- atau 4-pintu, GT-R atau varian lebih rendah yang lain, akan menampilkan watak sepasang kekasih bernama Ken dan Mary.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required