Proton X70 yang baru saja dilancarkan secara rasmi akan kekal menjadi buah mulut orang ramai untuk beberapa ketika. Selepas mendapat pengesahan harga jualannya (dari RM99,800 hingga RM123,800). Dari segi harga, X70 berada di antara segmen B dan C bagi SUV.

Jadi, ada eloknya juga kita lihat perbandingan kos servis berkenaan antara X70 dengan SUV paling popular di Malaysia, Honda CR-V yang dijual pada harga dari RM138,308 hingga RM163,191. Ini bermaksud, harga X70 lebih rendah sekitar RM40k jika dibandingkan dengan CR-V.

Tetapi, satu lagi persoalan yang bermain difikiran ialah berapa kos servis yang diperlukan oleh SUV ini? Kami membandingkan harga bagi setiap kali servis bagi kedua-dua model berkenaan – berdasarkan versi pemanduan dua roda, dengan CR-V dari varian 1.5 VTEC Turbo. Secara umumnya, aspek ini nampaknya tidak menyebelahi Proton. Mengikut kiraan kami, ditolak dengan kos bahan api dan penggunaan lain, kos servis bagi X70 adalah kira-kira RM1,000 lebih mahal bagi tempoh sepanjang lima tahun berbanding CR-V; RM4,921.20 berbanding RM3,863.41.

Melihat kepada perincian setiap kali servis, adalah jelas mengapa ia lebih tinggi bagi X70. Proton memerlukan lima liter minyak enjin bagi setiap kali servis, manakala CR-V pula hanya perlukan empat liter. Kemudian, walaupun penapis udara bagi X70 lebih murah berbanding model Honda, ia perlu ditukar lebih kerap. Untuk itu, walaupun X70 memberikan kos buruh percuma bagi lima kali servis terawal (Honda pula menawarkannya bagi jadual servis berselang berikutnya), hanya pada servis ke-30,000 km sahaja X70 lebih murah.

Lihat pula keperluan menukar bendalir untuk transmisi. CR-V perlu ditukarkan minyak untuk CVT pada setiap 40,000 km, dengan kos RM141.50 setiap kali. X70 pula hanya perlukan penukaran minyak gear automatik dalam jarak lebih jauh, iaitu 60,000 km. Tetapi kosnya juga lebih tinggi; RM500.96. Itu juga merupakan jarak di mana penukaran coolant perlu dilakukan untuk X70, menjadikan kos keseluruhannya ialah RM1,269.66.

Klik untuk besarkan

Bagi Honda, walaupun dengan harga alat ganti yang lebih tinggi, tempoh penukaran yang perlu dilakukan pula lebih panjang. Coolant bagi CR-V misalnya, walaupun melibatkan kos RM201.05, ia hanya perlu ditambah apabila kenderaan mencapai jarak 200,000 km. Penggunaan palam pencucuh Iridium pula, walaupun mahal (RM431.05), ia hanya perlu ditukar pada jarak 100,000 km sahaja, berbanding X70 yang perlu menukar palam pencucuhnya pada setiap 20,000 km.

Kos penggunaan bagi X70 juga akan menjadi lebih tinggi sekiranya anda mengambil kira penggunaan tayar 19-inci bagi varian Premium (17-inci bagi Standard, 18-inci bagi Executive). Gantian tayar anda akan lebih tinggi jika dibandingkan dengan tayar CR-V yang menggunakan saiz 18-inci.

Sudah tentu, semua ini adalah anggaran kos bersandarkan kepada cadangan pengeluar, dan kos sebenar mungkin saja akan berbeza, bergantung kepada cara penggunaan anda. Kadar yang dikenakan juga tertakluk kepada perubahan, terutamanya sebagai contoh, Honda kini memberikan 15% potongan harga untuk alat ganti.

Dengan perbezaan kos servis antara kedua model ini, anda juga mungkin ingin mempertimbang harga yang ditawarkan pula untuk pembeli; mungkin di sinilah timbal balik untuk kos servis yang tinggi bagi Proton kerana X70 dijual pada harga yang jauh lebih murah berbanding Honda CR-V. Apa pendapat anda, mana satu lagi berbaloi?