BMW Motorrad Malaysia telah memperkenalkan dua program baru untuk pembeli motosikal jenama tersebut iaitu jaminan, serta khidmat bantuan tepi jalan percuma selama tiga tahun. Dua program ini akan diberikan terus kepada mereka yang mendaftarkan motosikal bermula dari 1 Januari 2019, untuk semua model BMW kecuali HP4 Race.

Untuk program jaminan selama tiga tahun, ia didukung sendiri oleh BMW Group AG dan meliputi sebarang pembaikan serta penggantian komponen secara percuma bagi isu yang melibatkan masalah produksi atau material, dengan jarak perbatuan (mileage) tanpa had.

Program bantuan tepi jalan pula memastikan pelanggan diuruskan oleh pasukan yang terdiri daripada individu-individu pakar pada bila-bila masa, iaitu 24 jam sehari dan 365 hari setahun bagi perkhidmatan profesional dan bantuan pakar untuk tujuan kecemasan seperti perkhidmatan menunda jika berlakunya kerosakan.

“Pengalaman pemilikan yang bebas daripada sebarang kekhuatiran merupakan kunci kepada ekspresi premium bagi kenderaan yang ditawarkan oleh BMW Group. Ia juga merupakan cara kami membezakan entiti kami dengan yang lain di dalam industri ini untuk ‘Make Life A Ride’ bagi pemilik kenderaan BMW,” kata Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl.

Selain pengenalan dua program baru ini, BMW Motorrad Malaysia turut menyiarkan harga baru untuk semua model yang ditawarkan oleh syarikat itu sekarang, dan ia melihatkan sedikit peningkatan antara RM600 hingga RM3,600 jika dibandingkan dengan harga yang diumumkan waktu SST baru dilaksanakan semula September tahun lalu.