Proton Iriz 2019 dilancarkan – 5 varian, dari RM36,700

Proton Iriz 2019 dilancarkan – 5 varian, dari RM36,700

Pertama kali dipertontonkan secara eksklusif untuk pihak media pada Februari lalu dan baru-baru ini juga telah dipamerkan di Malaysia Autoshow 2019 di MAEPS, Serdang, seperti yang dinanti, malam ini, bersama Proton Persona 2019, Iriz 2019 telah pun dilancarkan secara rasminya.

Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Iriz 2019 hadir dengan lima varian – Standard 1.3L MT, Standard 1.3L CVT, Executive 1.3L CVT, Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT. Ia ditawarkan dengan harga atas jalan (tanpa insurans) bernilai RM36,700 untuk Standard 1.3L MT, RM39,700 (Standard 1.3L CVT), RM44,700 (Executive 1.3L CVT), RM46,700 (Executive 1.6L CVT) dan varian tertinggi Premium 1.6L CVT pula berharga RM50,700.

Menurut Proton, Iriz kali ini diberikan nilai tambah (daripada sudut penambahbaikan) sebanyak RM1,400, namun harga pasarannya diturunkan sehingga RM2,700. Ini mendorong penjimatan sebanyak RM4,100. Begitu WOW dan menarik harganya!

Proton Iriz 2019 dilancarkan – 5 varian, dari RM36,700

Untuk bahagian mekanikalnya pula, Iriz masih kekal dengan dua pilihan enjin iaitu 1.6 liter VVT berkuasa 107 hp/150 Nm dan juga 1.3 liter VVT berkuasa 94 hp/120 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik, dan lima-kelajuan manual hanya untuk model 1.3 liter.

Walau pun tiada perubahan untuk enjin dan transmisi, untuk Iriz 2019 ini, Proton mendakwa telah menambah baik prestasi brek, NVH Rating, dan juga lebih menjimatkan bahan api. Bukan itu sahaja, kualitinya telah dipertingkatkan berdasarkan standard penilaian yang dikenali sebagai GCPA Rating, yang ditetapkan oleh Geely.

Hatchback ini turut diberikan suntikan gaya yang baharu dan lebih segar dengan mengadaptasi beberapa ilham rekaan dari SUV Proton X70. Ini termasuklah bampar hadapan dan gril yang direka menarik dengan menjadikan busur panah sebagai sumber inspirasi, melahirkan karakter yang lebih ranggi dan teguh. Ia dipadankan dengan lampu utama projektor halogen yang lebih langsing bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED baharu yang menyerlahkan lagi wajahnya.

Proton Iriz 2019 dilancarkan – 5 varian, dari RM36,700

Malah bahagian sisinya turut memberikan garisan penuh berkarakter untuk memberikan kesan terhadap aerodinamik, termasuklah rekaan roda aloi pelbagai-jejari yang diinspirasikan dari rotor blade.

Manakala pada bahagian belakangnya pula, perkataan ‘Proton’ dalam rekaan 3D cukup menarik pandangan. Bukan itu sahaja, lampu belakang dengan grafik baharu yang menurut Proton memberikan rupa yang lebih lebar pada kereta ini. Malah padanan bampar belakang baharu turut ditampilkan dengan diffuser yang lebih menyerlah, bersama sepasang liang udara menegak pada kedua-dua sisi.

Menjengah bahagian kabinnya pula, ambien yang lebih gelap menampilkan sisi yang lebih sporty. Beberapa elemen baharu telah ditampilkan, ini termasuklah paparan pelbagai-info LCD, tombol gear (untuk varian MT) dan pastinya tiga varian tertinggi lebih menarik dengan kehadiran paparan sesentuh tujuh-inci, paparan pelbagai-info TFT, kamera pandang belakang dengan Dynamic Line, dan ketersambungan telefon pintar.

Proton Iriz 2019 dilancarkan – 5 varian, dari RM36,700

Manakala ciri tambahan baharu untuk varian tertinggi didatangkan dengan Online Navigation, cermin pandang belakang tanpa bingkai, tombol gear, sambungan 4G & Wifi dan Arahan Suara seperti yang ditampilkan buat pertama kalinya pada SUV X70. Malah Iriz merupakan model hatchback segmen-B pertama yang ditampilkan dengan fungsi Arahan Suara ini.

Ciri-ciri lain yang masih dikekalkan termasuklah dua port pengecas USB, ECO Drive Assist, dan untuk tiga varian tertinggi dipadankan dengan butang penghidup enjin (kunci manual untuk model asas Standard 1.3L MT & Standard 1.3L CVT).

Aspek keselamatan juga tiada perubahan, masih kekal dengan dua beg udara (enam beg udara untuk varian tertinggi), ABS dan EBD, Kawalan Kestabilan, Bantuan Mula Mendaki, Sistem Kawalan Cengkaman dan cagak Isofix.

Bagi Iriz 2019 ini, ia turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu), servis buruh percuma sebanyak tiga kali dan juga pakej data selama lima-tahun (1GB/bulan). Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Proton Iriz 2019 ini, sila layari Carbase.my.

Anda juga boleh baca ulasan ringkas pandu uji Proton Iriz 2019 menerusi pautan ini.

Di bawah ini merupakan perbandingan spesifikasi penuh mengikut varian:

Proton Iriz Standard 1.3L MT – RM36,700 (tanpa insurans)

Enjin dan transmisi

  • Enjin 1.3 liter 4-silinder sebaris DOHC, VVT
  • 94 hp dan tork 120 Nm
  • Kotak gear manual lima-kelajuan
  • Suspensi topang MacPherson dengan bar penstabilan (hadapan) & gandar torsion beam (belakang)

Luaran:

  • Lampu utama projektor halogen
  • Cermin sisi dengan lampu isyarat membelok
  • Lampu belakang kombinasi LED
  • Antena sirip jerung
  • Rim aloi rotor-blade 14-inci

Dalaman:

  • Paparan pelbagai-info LCD
  • Kunci manual
  • Dua port pengecas USB
  • ECO Drive Assist
  • Roda stereng balutan urethane
  • Tempat duduk balutan fabrik
  • Tempat duduk pemandu boleh laras
  • Audio standard
  • Ketersambungan Bluetooth
  • Dua pembesar suara

Ciri keselamatan:

  • Dua beg udara
  • Cagak Isofix
  • ABS
  • EBD
  • Bantuan Brek (BA)
  • Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC)
  • Sistem Kawalan Cengkaman (TCS)
  • Bantuan Mula Mendaki (HHA)
  • Pengesan parkir hadapan/belakang

Pilihan warna badan:

  • Ocean Blue
  • Ruby Red
  • Snow White
  • Armour Silver
  • Jet Grey

Proton Iriz Standard 1.3L CVT – RM39,700 (tanpa insurans)

Tambahan:

Enjin dan transmisi:

  • Enjin 1.3 liter 4-silinder sebaris DOHC, VVT
  • 94 hp dan tork 120 Nm
  • Kotak gear CVT
  • Suspensi topang MacPherson dengan bar penstabilan (hadapan) & gandar torsion beam (belakang)
  • Luaran:

    • Rim aloi rotor-blade 15-inci
    • Spoiler belakang yang sporty

    Proton Iriz Executive 1.3L CVT – RM44,700 (tanpa insurans)

    Tambahan:

    Luaran:

    • Lampu nyalaan siang
    • Lampu utama halogen automatik dengan fungsi ‘Follow Me Home’
    • Remote trunk release
    • Lampu nyalaan siang LED

    Dalaman:

    • Paparan sesentuh tujuh-inci
    • Paparan pelbagai-info TFT
    • Kamera pandang belakang dengan Dynamic Line
    • Ketersambungan telefon pintar
    • Kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin
    • Empat pembesar suara
    • Tombol gear sporty

    Proton Iriz Executive 1.6L CVT – RM46,700

    Tambahan:

    Enjin dan transmisi:

    • Enjin 1.6 liter 4-silinder sebaris DOHC, VVT
    • 107 hp dan tork 150 Nm
    • Kotak gear CVT
    • Suspensi topang MacPherson dengan bar penstabilan (hadapan) & gandar torsion beam (belakang)

    Luaran:

    • Cermin sisi elektronik dengan fungsi lipat auto
    • Rim aloi ‘Rotor Blade’ 15-inci dua-tona

    Proton Iriz Premium 1.6L CVT – RM50,700 (tanpa insurans)

    Tambahan:

    Luaran:

    • Bumbung berwarna hitam

    Dalaman:

    • Sistem Infotainmen GKUI
    • Online Navigation
    • Cermin pandang belakang tanpa bingkai
    • Sambungan 4G & WiFi
    • Arahan Suara (seperti yang ditampilkan pada Proton X70)
    • Tempat duduk separa kulit
    • Roda stereng balutan kulit dengan suis audio dan telefon bebas-tangan
    • Online Music Streaming

    Ciri keselamatan:

    • Empat beg udara SRS sisi & tirai

    GALERI: Proton Iriz Premium 1.6L CVT 2019

    GALERI: Proton Iriz Executive 1.6L CVT 2019

    Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required