PANDU UJI: Nissan X-Trail 2019 – mampu menandingi penawaran dari jenama pesaing atau sebaliknya?

PANDU UJI: Nissan X-Trail 2019 – mampu menandingi penawaran dari jenama pesaing atau sebaliknya?

Ketika ini, jika anda memang mengintai untuk memiliki sebuah SUV, pastinya Nissan X-Trail 2019 juga turut berada di dalam senarai untuk dipertimbangkan. Sejak dipertontonkan pada Mac lalu (dan kemudiannya dilancarkan dan mula dijual pada April 2019), telah banyak maklumat berkaitan model ini yang sudah dilaporkan.

Sekiranya anda belum sempat meneliti dengan terperinci berkaitan SUV facelift terbaru daripada Nissan ini, kami sendiri telah menyediakan kandungan yang agak komprehensif mengenai model ini yang boleh anda capai terus. Antaranya ketika ia mula-mula dipertontonkan di Malaysia, perbezaan antara model lama dengan yang baru serta penawaran serta perbezaan spesifikasi antara varian yang ada kini.

Bagi yang lebih gemar mendapatkan maklumat melalui medium video pula, jangan risau. Kami juga telah mempersiapkan beberapa siri video berkaitan Nissan X-Trail 2019 ini untuk anda. Antaranya, tinjauan awal dengan tumpuan kepada model hibrid, video berkenaan Nissan Intelligent Mobility, prestasi pecutan antara varian yang ada, perbezaan penawaran antara varian serta sesi pandu uji ringkas.

Jadi, untuk laporan ini, kita hanya akan memberi tumpuan kepada pengalaman pemanduan tiga varian yang sempat kami cuba setakat ini; semua varian kecuali model 2.0L 2WD yang paling asas, yang mana dalam laporan ini bolehlah diwakilkan kepada versi 2.0L 2WD Mid. Tetapi, sebelum itu, elok kita tinjau dulu arah tuju jangka masa terdekat ini yang sedang dirancang oleh Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) selaku pengedar rasmi Nissan untuk pasaran Malaysia.

PANDU UJI: Nissan X-Trail 2019 – mampu menandingi penawaran dari jenama pesaing atau sebaliknya?

Kalau anda perasan, Nissan ketika ini tidak lagi menawarkan sedan dalam segmen C dan D yang pernah ada; tiada lagi Nissan Sylphy dan Teana. Sedan yang tinggal dalam barisan penawaran hanyalah Almera dalam segmen B. Ini menjadikan hanya ada empat model semasa yang dijual oleh ETCM ketika artikel ini ditulis, iaitu Almera sedan, MPV Serena S-Hybrid, SUV X-Trail dan juga trak pikap Navara. Itu sahaja.

Sebab apa jadi begini? ETCM sedang memperkemaskan barisan model yang ditawarkan di sini. Perkembangan di seluruh dunia juga perlahan-lahan menyaksikan corak penurunan permintaan terhadap kereta sedan. Jadi, Nissan ingin mengikut jejak yang sama. Segmen kenderaan jenis yang mana pula menjadi pilihan? Seperti yang ramai sedia maklum, corak penerimaan kini semakin beralih kepada kenderaan jenis SUV. Di Malaysia sendiri kita boleh melihat perkembangan yang sama; lihat saja jumlah Honda CR-V atau Proton X70 di atas jalan raya.

Maka, atas faktor inilah juga Nissan memilih untuk menggugurkan model Teana dari panawaran pasaran tempatan. Ia diganti dengan pertambahan varian bagi Nissan X-Trail 2019; dahulunya, X-Trail hanya ditawarkan dalam dua varian, tetapi kini sudah ada empat. Lebih menarik, spesifikasi paling lengkap bagi X-Trail kini diwakili oleh model 2.0L 2WD Hybrid – yang pertama dalam segmennya di Malaysia.

Bukan itu sahaja, senarai harga SUV terbabit juga sama seperti penawaran versi sebelum ini. Cuma, kini ia tampil memberikan nilai yang lebih tinggi serta kelengkapan aspek keselamatan yang lebih baik – satu bonus untuk pemiliknya hari ini kalau nak dibandingkan dengan versi sebelum facelift dahulu. Sekadar makluman, Nissan X-Trail 2019 dijual pada harga bermula dari RM134,000 hingga RM160,000 mengikut varian dan kelengkapan spesifikasi.

PANDU UJI: Nissan X-Trail 2019 – mampu menandingi penawaran dari jenama pesaing atau sebaliknya?

Dalam tempoh beberapa tahun terdekat ini, apa pula yang boleh kita jangkakan daripada Nissan? Seperti yang dikongsikan oleh Pengurus Pemasaran ETCM, Chris Tan ketika sesi pandu unit media yang sempat kami sertai hujung April lalu, beberapa model baru yang boleh tahan menarik sedang diusahakan oleh syarikat itu untuk dibawa masuk ke pasaran tempatan.

Pertama, seperti yang pernah diumumkan, kereta elektrik sepenuhnya Nissan LEAF generasi kedua akan diperkenalkan secara rasmi pertengahan tahun nanti, mengikut jadual seperti dirancang. Tentu ramai juga antara pembaca yang pernah melihat model ini, yang dipamerkan ketika KLIMS 2018 tahun lalu. Seterusnya model sedan Almera generasi keempat pula turut bakal menyusul.

Model yang sama telah dilancarkan untuk pasaran Amerika Utara awal tahun ini, dan bakal menampilkan rekaan yang sama sekali berbeza daripada apa yang dijual di Malaysia sekarang. Jangkaannya, Almera baru ini – atau nama lainnya Nissan Versa – akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan dalam tahun 2020 nanti.

Ini akan disusuli pula oleh dua lagi model global terbaru daripada Nissan; iaitu SUV crossover Nissan Kicks dan juga sedan segmen C, Nissan Sylphy. Kedua-duanya sudah pun membuat penampilan diperingkat dunia. Kedua-dua model ini akan dibawa masuk ke Malaysia selepas pengenalan Almera nanti. Melihat kepada usaha Nissan diperingkat global, serta arah tuju yang cuba dibawa oleh ETCM untuk pasaran tempatan, jenama ini seperti sudah sedia untuk bangkit semula, terutama untuk memenangi pasaran massa.

Kedua, cuba lihat rekaan dan penampilan imej pada Almera baru misalnya. Sangat terserlah kematangan, agersif dan citarasa yang cuba ditawarkan, jauh meninggalkan rekabentuk aneh yang diterapkan pada model sebelumnya. Barulah nampak macam sebuah kereta yang meyakinkan, setidak-tidaknya dari segi imej.

Bolehlah dianggap Nissan X-Trail 2019 ini sebagai titik peralihan yang cuba dibawa oleh ETCM itu. Dan, di dalam laporan pandu uji ini, kita akan beri tumpuan khusus kepada aspek pemanduan tiga varian utamanya dan menyentuh hal-hal yang berkaitan itu sahaja. Jika anda inginkan perincian lanjut yang lebih menyeluruh, seperti yang disenaraikan awal tadi, sila baca atau tonton kandungan komprehensif yang telah disediakan.

Nissan X-Trail 2.0L 2WD Hybrid

Dalam perjalanan ke Belum, Gerik, Perak tempohari, saya secara peribadi ingin mengetahui bagaimana prestasi pemanduan model hibrid ini dalam perjalanan jauh. Sempat mencubanya untuk pemanduan dalam bandar sebelum ini, secara umumnya model hibrid ini memberikan rasa pemanduan yang paling meyakinkan. Ia merupakan tambahan terbaru, sekaligus penawaran spesifikasi paling tinggi bagi X-Trail ketika ini.

Dari segi penyaluran kuasa, versi hibrid ini dirasakan paling bertenaga dengan respon yang segera. Memang, anda akan merasa sedikit kelewatan atau lag sekiranya pedal minyak ditekan dengan pantas dengan harapan untuk mendapatkan lonjakan serta-merta – kesan daripada sistem hibrid yang digunakan. Tetapi, ini sebuah SUV, bukan kereta lumba. Maka tujuan dan keperluan penggunaannya juga tentulah berbeza.

Model ini menggunakan enjin MR20DD 2.0L Twin CVTC suntikan terus dengan janaan kuasa sebanyak 144 PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum 200 Nm pada 4,400 rpm. Ini kemudiannya ditambah pula dengan penggunaan sebuah motor elektrik berkuasa tinggi untuk memberikan pengelaman EV yang senyap dan lancar; dengan kuasa 41 PS dan 160 Nm.

Bagi bateri lithium-ion yang digunakan, ia terdiri daripada empat modul dengan 14 sel, menjadikan jumlah keseluruhan sel ialah 56. Setiap sel mempunyai 3.6V, membawa kepada jumlah keseluruhan 202 Volts, sementara kapasiti bateri yang digunakan ialah 0.9kWh. Menyalurkan kuasa dari enjin ialah transmisi X-tronic CVT yang telah dipertingkat, dengan mod manual tujuh-kelajuan.

Sistem klac juga unik; ia memanfaatkan teknologi Nissan Intelligent Dual Clutch, yang merujuk kepada klac yang terletak antara enjin dan motor elektrik serta satu lagi di antara motor elektrik dan transmisi X-CVT. Menurut Nissan, sistem ini membolehkan X-Trail hibrid menikmati kelebihan dari kedua-dua teknologi konvensional dan elektrifikasi terbabit. Dengan ciri Start/Stop, kecekapan penggunaan minyak yang boleh dicapai ialah 16.1 km/l.

Bukan hanya dari sudut janaan dan penyaluran kuasa sahaja sebenarnya. Karektor pengendalian X-Trail hibrid ini bahkan dirasakan paling mantap di antara varian yang lainnya. Maklum balas sterengnya adalah yang paling berat, sekaligus memudahkan pemandu untuk menentukan input yang diperlukan, terutama ketika memasuki selekoh dan di jalan berliku.

PANDU UJI: Nissan X-Trail 2019 – mampu menandingi penawaran dari jenama pesaing atau sebaliknya?

Dengan adanya perkasasan bagi sistem hibrid, ia juga memberikan berat tambahan kepada SUV ini; ia juga tidaklah bermakna ini satu kekurangan. Lebihan berat berkenaan memberikan kestabilan dalam perjalanan, hanya dapat dirasa pada versi hibrid. Bukan itu sahaja; aspek penebatan bunyi juga diberi perhatian teliti kali ini, dengan lebih banyak bahagian yang menerima peningkatan ini dan dipasang misalnya pada bahagian lantai, papan pemuka dan badan kenderaan. Ini menjadikan kabin sangat senyap; untuk berbual atau mendengar muzik kini lebih mudah dan berkesan.

Seperkara lagi, model hibrid ini hanya menggunakan sistem pacuan 2WD dan cuma ada lima tempat duduk sahaja (bukan 5+2 seperti varian lain X-Trail). Lantai bahagian barangan di belakang juga lebih tinggi; menjadikan ruang yang tersedia ialah 404 liter. Ini disebabkan di bawah lantai tersebut diletakkan bateri bagi sistem hibrid yang digunakan. Macam mana pun, tayar ganti tetap ada. Dan, untuk buka pintu ruang belakang, boleh guna pergerakan kaki sahaja.

Selebihnya, menarik juga untuk diperkatakan ialah senarai ciri keselamatan yang melengkapi model hibrid ini. Dengan enam beg udara, kawalan kestabilan (VDC), kawalan cengkaman (TC), brek enjin aktif, ABS dan sebagainya didatangkan standard. Selain itu, sistem canggih bantuan untuk pemandu juga ada. Sebagai contoh, ciri amaran lintasan trafik di belakang (RCTA), amaran perlanggaran hadapan (FCW) dengan brek kecemasan pintar (AEB), pemanduan cruise pintar (ICC, dari 32-144 km/j), tinjauan titik buta, amaran pertukaran lorong dan lain-lain.

Untuk sambungan multimedia pula, semuanya bersepadu dan boleh dikendalikan melalui skrin tujuh-inci pada papan pemuka, yang turut menyediakan sokongan sambungan bagi Apple CarPlay dan juga Android Auto. Tambahan pada model hibrid ini pula ialah paparan sistem hibrid pada kluster instrumen di hadapan pemandu.

Ada seperkara lagi yang perlu juga dimaklumkan. Nissan X-Trail facelift 2019 ini didatangkan dengan lima-tahun jaminan, dan ini termasuk sekali segala kelengkapan sistem hibrid yang ada dan baterinya. Jika anda berhasrat untuk memiliki dan menggunakan SUV ini untuk tempoh yang panjang, bagaimana sekiranya selepas tempoh jaminan itu bateri mula bermasalah?

Berapa anggaran kos yang diperlukan untuk menggantikan unit bateri berkenaan? Bergantung kepada kadar tukaran wang asing semasa, ETCM memaklumkan sekiranya ada keperluan untuk ditukar, kos yang terlibat itu akan mencecah sekitar RM25,000. Ini mungkin menjadi satu faktor yang perlu anda pertimbangkan dengan cermat, begitu juga dengan kesan terhadap nilai jualan semula kenderaan hibrid di negara ini. Sekiranya untuk jangka masa panjang, dan andainya bateri tidak memberikan masalah, versi hibrid ini memang memberikan nilai dan penjimatan penggunaan yang sangat baik.

Nissan X-Trail 2.5L 4WD

Beralih kepada versi 2.5L 4WD, memang ada terasa perbezaan pemanduan yang agak jelas. Misalnya, stereng terasa lebih ringan, dan maklum balas walaupun boleh dikatakan cepat, tetap terasa seperti menarik beban yang agak ketara, terutama ketika ingin mula bergerak dari keadaan berhenti. Ini juga tidak sukar untuk difahami; kalau versi hibrid ada tambahan sistem berkenaan yang menyumbang kepada pertambahan berat, maka versi yang ini pula ada kelengkapan sistem 4WD memberi kesan yang sama.

Enjin petrol QR25DE-K2 2.5 liter Twin CVTC yang digunakan pula menjana kuasa yang lebih tinggi, iaitu 171 PS pada 6,000 rpm dan 233 Nm tork pada 4,000 rpm. Bagi transmisi, semua varian menggunakan unit yang sama iaitu X-Tronic CVT dengan mod manual tujuh-kelajuan. Walaupun dengan enjin yang lebih besar, jika perlu memilih, pengalaman pemanduan keseluruhan paling memuaskan oleh X-Trail 2019 ini ditawarkan oleh versi hibrid, dari beberapa sudut.

Stereng ringan ini untuk saya secara peribadi adalah tidak memuaskan. Ia memudahkan kendalian, tetapi kadar maklum balas yang diberikan agak sukar untuk ditentukan dengan tepat jika dibandingkan dengan model hibrid yang dipandu awalnya. Pecutan model pacuan semua roda ini juga terasa sedikit lambat. Kadar penggunaan minyak yang didakwa boleh dicapai juga seperti dijangka, kurang berbanding model hibrid – dengan bacaan 12.2 km/l.

Jika ingin berbicara tentang kelebihannya pula, memang ada. Pertama, jumlah tempat duduk yang tersedia ialah 5+2, dengan dua kerusi paling belakang bolehlah bertindak sebagai kerusi tambahan sekiranya perlu digunakan, misalnya untuk membawa kanak-kanak yang bertubuh kecil untuk perjalanan jarak dekat.

Kedua, sistem Intelligent 4×4 Mode yang ada, sekiranya anda berada dalam keadaan yang memerlukan, boleh jadi satu ciri yang berguna. Bahkan jika sekadar untuk bermain-main diselekoh, cengakaman dari tayar secara bersendirian setiap satunya akan memberikan keyakinan yang lebih kepada pemandu. Cara terbaik untuk memanfaatkan sistem ini mungkin dengan meletakkan plihan tombolnya di “Auto”.

Dengan cara ini, sistem akan menentukan bila sistem pacuan semua roda itu diperlukan dan akan mengaktifkannya tanpa pemandu perlu mengagak dalam situasi mana sistem berkenaan harus digunakan. Ciri ini berguna sekiranya anda kerap membuat perjalanan jarak jauh, dengan keadaan permukaan tak menentu – misalnya jalan tidak rata ataupun permukaan basah.

Nissan X-Trail 2.0L 2WD Mid

Tetapi, sekiranya penggunaan SUV ini hanya untuk dalam bandar pada kebanyakan waktunya, dan pengguna hanya memerlukan sistem dengan senarai spesifikasi yang asas, maka model 2.0L 2WD (Mid datang dengan lebih kelengkapan, termasuk ciri Nissan Intelligent Mobility) sudah memadai, bahkan mampu memberikan sisi yang lebih menyenangkan.

Ia lebih ringan dan menjimatkan jika dibandingkan dengan model 2.5L 4WD, dan menggunakan unit enjin 2.0L yang sama dengan versi hibrid. Begitu juga dengan transmisi, ia menggunakan unit yang sama dengan tiga lagi varian yang ditawarkan. Cuma, jika mengambil kira perihal enjin petrol semata-mata, makan model Mid ini memberikan bacaan penggunaan bahan api yang lebih baik, dengan kadar 13.4 km/l.

Ketika ini, beberapa model dari pengeluar lain ada sebagai pesaing kepada SUV Nissan ini. Antaranya, yang paling popular tentulah Honda CR-V. Namun, model Honda terbabit tidak mempunyai penawaran versi hibrid, begitu juga hanya menyediakan lima tempat-duduk untuk semua variannya. Untuk mengimbangi penawaran Nissan Intelligent Mobility, Honda turut memperkenalkan ciri Honda Sensing pada CR-V, dengan unit enjin berkapasiti lebih kecil, 1.5 liter turbo sebagai kelebihannya.

Tidak boleh juga melupakan model-model lain seperti Mazda CX-5 dan juga Proton X70; kedua-dua ini juga hanya hadir dengan lima tempat-duduk sahaja. Satu-satunya SUV tujuh-tempat duduk sebenar yang ada ditawarkan dalam pasaran tempatan ketika ini ialah Mitsubishi Outlander. Daripada semua ini, nampak Nissan lebih ke hadapan dalam menawarkan teknologi canggih dan pintar.

Melihat kepada penawaran Nissan di dalam segmen SUV, serta perkembangan positif yang sedang berlangsung dengan persaingan yang ketat di antara jenama-jenama yang ada, pilihan kepada pelanggan juga bertambah banyak dan sekaligus menjadi lebih rumit. Jika anda inginkan sebuah SUV kini, mana satu rasanya yang layak menjadi pilihan terbaik?

GALERI: Nissan X-Trail 2.0L 2WD

GALERI: Nissan X-Trail 2.0L 2WD Mid

GALERI: Nissan X-Trail 2.5L 4WD

GALERI: Nissan X-Trail 2.0L Hybrid 2WD

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required