Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan tol menjadi antara janji yang tidak tertunai selepas satu tahun mentadbir negara selepas menyedari kos tinggi yang terpaksa ditanggung kerajaan seandainya ia dilaksanakan, lapor Astro Awani.

“Kita telah berjanji untuk menghapuskan tol tetapi kini kita sedar, sebelum ini apabila kita memutuskan untuk menghapuskan tol, kita tidak memahami kos. Tetapi sekarang kita menyedari bahawa untuk menghapuskan tol bermakna kerajaan perlu membeli semua lebuh raya dan itu melibatkan kos yang besar,” kata Perdana Menteri.

Menurutnya lagi, bagi lebuhraya PLUS sahaja kerajaan perlu membayar RM30 bilion sebelum kerajaan boleh menghapuskan tol. “Jadi persoalannya ialah adakah kita menggunakan RM30 bilion untuk itu atau kita menggunakan RM30 bilion untuk tujuan lain yang lebih penting?” soal Tun.

Kerajaan sebelum ini telah pun memansuhkan tiga tol laluan motosikal iaitu di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor dan menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ia dilihat sebagai satu langkah awal sebelum tol dimansuhkan sepenuhnya seperti dijanjikan kerajaan PH dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun jelasnya, pelaksanaan memansuhkan tol sepenuhnya itu tidak dapat dilakukan dalam kadar segera kerana keadaan negara kini yang dibebani dengan masalah kewangan.

Pejabat Perdana Menteri juga pernah mengumumkan bahawa kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisma kutipan tol, membabitkan empat lebuh raya.

Dengan pengambilalihan itu, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada, dan sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan iaitu kadar yang sama dengan kadar tol semasa pada waktu puncak selama enam jam sehari, yang dicadangkan antara jam 11 malam dan 5 pagi.