SPYSHOT: Perodua Axia Style 2019 – gaya ala SUV

Kalau malam kelmarin, Perodua mengambil kesempatan menayang kelibat model Axia 2019 menerusi program televisyen Konsert Big Stage 2019 minggu ke-5 di saluran Astro Gempak, ini beberapa keping gambar Axia Style, yang dikatakan sebagai varian terbaharu bagi barisan Axia 2019, seperti yang dimuatnaik di laman Facebook The Ajerul.

Foto-foto bahagian hadapan, belakang dan sisi varian Axia Style menggambarkan ia tampil dengan gaya yang lebih ranggi, ala SUV crossover pula. Ia ditampilkan dengan pilihan warna Sunrise Orange, memang cukup menampakkan keseluruhan imej luarannya yang ternyata lebih segar dan sporty.

Bampar hadapannya kelihatan mempunyai ‘bukaan udara’ menegak yang lebih besar di penjuru dan sudut tersebut juga menempatkan lampu kabus. Malahan, kelihatan corak pada gril juga sedikit berbeza, dengan jalinan paten yang lebih rapat.

SPYSHOT: Perodua Axia Style 2019 – gaya ala SUV

Axia Style juga bakal ditampilkan dengan rim 15-inci bersama rekaan seperti diamond cut serta tayar yang lebih tebal. Malah ia turut menampilkan kemasan hitam pada lengkuk tayar dan bampar. Manakala bahagian bawah bampar hadapan pula terdapat kemasan seakan sebuah SUV. Difahamkan, varian Style ini akan ditawarkan pada harga jangkaan RM38,890.

Selain Axia Style 2019, varian lain yang membarisi Axia 2019 termasuklah model spesifikasi tertinggi Axia AV 2019 (RM43,190), Axia SE 2019 (RM38,890), Axia GXtra 2019 (RM34,990), Perodua Axia G 2019 (RM33,490) dan Peordua Axia E 2019 (RM24,090). Anda boleh melihat senarai perbandingan varian bagi barisan Axia 2019 DI SINI.

Kalau lihat menerusi sedikit sedutan video yang ditayangkan melalui Konsert Big Stage 2019, ciri lain bagi Axia 2019 yang didedahkan termasuklah tombol gear dengan kemasan krom, perubahan kecil pada grafik panel instrumen, skrin infotainmen sesentuh, butang kawalan audio pada roda stereng balutan kulit serta kamera belakang.

Seperti yang pernah diuar-uarkan sebelum ini, Axia 2019 masih dikekalkan dengan enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga-silinder VVT-i yang menghasilkan kuasa 67 hp dan tork 91 Nm pada 4,400 rpm. Hanya varian E boleh didapati dengan transmisi manual lima-kelajuan manakala varian lain semuanya datang dengan transmisi automatik empat-kelajuan. Kadar penggunaan minyak didakwa mencapai 22.5 km/l bagi MT, manakala bagi AT empat-kelajuan pula ialah 21.6 km/l. Tetapi, bagi varian Style, ia dikatakan mampu mencapai 20.8 km/l.

Manakala untuk aspek keselamatan pula, terdapat sedikit peningkatan, di mana varian GXtra ke atas akan dilengkapi dengan ciri kawalan kestabilan VSC manakala varian Advance pula akan ditambah dengan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang termasuk Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera yang dipasang pada cermin utama.

Buat masa ini, Perodua masih berahsia bilakah Axia 2019 ini bakal dilancarkan, walau pun tempahannya telah pun mula dibuka sejak 22 Ogos lalu. Adakah Perodua akan mengambil kesempatan untuk melancarkannya di pentas penganjuran Karnival MYPerodua Nation 2019 yang bakal berlangsung pada 20 hingga 22 September ini di kawasan lapang di hadapan Setia City Mall? Nantikan perkembangan selanjutnya bersama kami.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • Alson P on Nov 12, 2019 at 9:28 pm

    Axia style patut ada semua pilihan variant.. Dari axia varian G hingga Varian advance…

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required