Enjin Perodua Axia akan rosak kalau pakai RON 97?

Semalam tular satu video terbitan ML Studio yang menerangkan berkenaan apa maksud RON pada petrol dan juga apa kesan sekiranya kita menggunakan RON yang salah pada satu-satu enjin. Pada permulaan, nampak menyakinkan apa yang diterangkan dalam video berkenaan, tetapi saya mula tergelak pada pertengahan video.

Pada minit ke 1.02, video tersebut mula menerangkan berkenaan ‘cc’ atau cubic capacity serta hubungannya dengan RON. Menurut individu dalam video tersebut, Mas Faiz Hakim, jika kita menggunakan petrol dengan RON tinggi pada enjin berkapasiti kecil, enjin berkenaan “terpaksa bekerja dua kali ganda untuk membakar minyak” dan “akan menyebabkan enjin menjadi penat” dan “akhirnya perlu dihantar untuk servis”.

Faiz juga menerangkan bahawa jika kita menggunakan petrol dengan RON rendah kepada enjin berkapasiti tinggi seperti 2.0 liter atau 2.5 liter, “petrol akan terbakar dua kali ganda”, akan berlaku knocking seterusnya akan menyebabkan enjin mudah rosak. Faiz juga sempat membuka manual Perodua Axia pada akhir video dan menunjukkan ayat “use only unleaded fuel with it’s Research Octane Number 95 or higher” dan kemudian menambah “ambil 95 sahaja kerana itu yang direka khas untuk kereta jenis Axia.”

Jadi, betul ke apa yang diterangkan oleh Faiz ini, terutamanya tentang enjin kapasiti kecil akan rosak jika kita gunakan petrol dengan RON lebih tinggi? Apa yang diterangkan oleh Faiz berkenaan RON, berkenaan petrol lebih cepat terbakar jika RON semakin rendah adalah benar. Tetapi untuk mengaitkannya dengan kapasiti enjin, itu yang kurang tepat.

Enjin Perodua Axia akan rosak kalau pakai RON 97?

RON atau Research Octane Number ini berkaitan ketahanan petrol berkenaan daripada meletup sendiri tanpa percikan api dari palam pencucuh (spark plug) ketika ia diberikan mampatan (compression) yang kuat. Palam pencucuh akan memberikan percikan api pada masa yang tepat dan optimum mengikut kiraan darjah sebelum omboh sampai ke titik paling tinggi (top dead center atau TDC).

Fenomena petrol meletup sendiri sebelum diberikan nyalaan api ini digelar knocking (mengeluarkan bunyi ketukan luar biasa dari kebuk pembakaran enjin), dan ia akan menyebabkan enjin menghasilkan haba yang lebih tinggi serta kuasa yang diekstrak secara tidak optimum.

Knocking akan terhasil atas berberapa faktor, antaranya deposit karbon yang telah terhasil di dalam enjin yang sudah lama tidak dirombak rawat, menyebabkan ia menyala dan menyebabkan pembakaran campuran bahan api dan udara berlaku lebih awal dari yang sepatutnya. Satu lagi sebab mengapa knocking terjadi adalah kerana petrol dengan RON rendah digunakan pada enjin yang direka dengan kebuk pembakaran yang akan menghasilkan nisbah mampatan yang tinggi – ya, NISBAH MAMPATAN YANG TINGGI, tiada kena mengena dengan kapasiti enjin.

Ini kerana enjin yang berkapasiti kecil tidak semestinya mempunyai nisbah mampatan yang rendah, dan enjin dengan kapasiti yang kecil bukan bermaksud ia menghasilkan kuasa yang lebih rendah dari enjin berkapasiti lebih besar. Anda perlu juga tahu bahawa enjin berkuasa rendah tidak semestinya mempunyai nisbah mampatan lebih rendah dari enjin berkuasa tinggi.

Enjin bagaimana yang mempunyai nisbah mampatan tinggi ini? Kebiasaanya, enjin yang mempunyai nisbah mampatan tinggi adalah enjin berprestasi tinggi tanpa diberikan suapan induksi paksaan seperti pengecas turbo atau supercharger (Naturally Aspirated atau NA).

Sebagai contoh, enjin S4PH 1.6L VVT berkuasa 107 hp/150 Nm pada Proton Persona 2019 mempunyai nisbah mampatan 10:1, berbanding enjin B16B 1.6 liter DOHC VTEC berkuasa 185 hp/163 Nm pada Honda Civic Type R EK9 mempunyai nisbah mampatan 10.8:1. Semakin tinggi nisbah mampatan, semakin banyak kuasa yang boleh kerah dari kebuk pembakaran, tetapi ia juga akan menyebabkan enjin tersebut lebih panas.

Kebiasaanya, enjin dengan nisbah mampatan lebih tinggi akan hadir sekali dengan sistem penyejukan yang lebih efisien dan material binaan enjin yang lebih tahan, sebab itulah ia hanya boleh dijumpai pada kereta berprestasi tinggi dengan harga lebih mahal.

Enjin turbo dan supercharger kebiasaanya juga mempunyai nisbah mampatan yang rendah – contohnya enjin 2.0 liter TSI Volkswagen Golf GTI berkuasa 227 hp/350 Nm yang mempunyai nisbah mampatan 9.6:1 – kerana kuasa tekanan positif atau boost yang diberikan bakal memendekkan jangka hayat enjin sekiranya ditala dengan nisbah mampatan tinggi.

Apa yang akan terjadi sekiranya kereta dengan nisbah mampatan rendah menggunakan petrol dengan RON lebih tinggi? Seperti ujian sebenar yang kami lakukan kepada dua buah Proton Saga yang anda boleh baca pada PAUTAN INI, pembakarannya menjadi kurang efisien dan hanya menyebabkan ia membakar petrol lebih banyak, tanpa peningkatan kuasa yang signifikant.

Enjin Perodua Axia akan rosak kalau pakai RON 97?

Bagaimana pula jika anda menggunakan petrol dengan RON lebih rendah pada enjin dengan nisbah mampatan tinggi? Adakah ia akan merosakkan enjin seperti yang didakwa dalam video tersebut? Jangan gusar kerana enjin-enjin moden dengan sistem suntikan bahan api elektronik sekarang semuanya mempunyai ‘knock sensor‘.

Sensor berkenaan akan mengesan kemungkinan berlakunya knocking jika anda menggunakan petrol dengan RON rendah dari sepatutnya. Selepas mengesan, nyalaan api pada palam pencucuh akan dilaras semula oleh kotak komputer enjin bagi mengelakkan berlakunya knocking, dan memastikan ia beroperasi secara selamat, tetapi sudah tentu kuasa yang dihasilkan juga kurang dari sepatutnya.

Oh ya, Faiz juga perlu beri perhatian pada ayat dalam buku manual tu – “RON 95 or higher” bukan “RON 95 only“, bermaksud boleh saja Axia kalau nak pakai petrol RON 97 jika pemiliknya banyak duit lebih tak tahu nak buat apa. Dan, Axia belum keluar lagi model 1.3 liter ya, semua pakai enjin 1.0 liter, Tesla pula tak pakai petrol, dia pakai motor elektrik.

Kalau rasa susah nak faham artikel di atas, jemput tengok video yang kami hasilkan ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required