Selain model Pulsar NS160, Modenas turut melancarkan sebuah lagi model marhaen untuk orang-ramai, tak lain model kapcai Kriss 110 baru. Ini merupakan penampilannya yang terkini untuk tahun 2019 dari sejarah panjang ketika mula diperkenalkan pada 1997 dahulu. Ia dijual pada harga RM3,377. Penampilan luaran motosikal ini direka sepenuhnya oleh warga Malaysia.

Kapcai 4-lejang 110 cc yang diberi jolokan “ikon rakyat” ini disasarkan kepada golongan muda muda yang mencari motosikal pertama dan inginkan sebuah motosikal mampu milik yang mudah dikendali dan diselenggara. Didatangkan dengan waranti dua tahun atau 20,000 km, yang mana lebih awal, Kriss 110 menawarkan gaya premium tanpa harga yang tinggi dan mematuhi piawaian pelepasan Euro 3 sepenuhnya.

Ketinggian tempat duduknya ialah 755 mm, sekaligus memastikan Kriss 110 menawarkan keselesaan bagi penunggang. Ruang di bawah tempat duduk ini juga mempunyai kapasiti 6.6 liter, cukup besar untuk kapcai dari segmen peringkat kemasukan. Penggunaan enjin empat-lejang satu silinder dengan penyejukkan udara pula bermakna kurang masa menukar palam pencucuh dan membersihkan karburator berbanding pada motosikal dua-lejang.

Modenas Kriss 110 ini turut diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV), yang menjanjikan penjimatan penggunaan minyak. Motosikal ini menawarkan rekabentuk yang kompak dan bergaya, dilengkapi dengan rim aloi 17-inci, ruang penyimpanan bawah tempat duduk yang luas, serta tempat duduk yang direka secara ergonomik untuk keselesaan menunggang yang optimum.

Lagi dari sudut penampilan, Modenas Kriss 110 2019 ini juga hadir dengan ciri lampu isyarat LED dan paparan meter rekaan baru dengan hiasan ala gentian karbon dengan visual yang lebih mudah dilihat. Sementara itu, bahagian belakangnya menggunakan sistem penyerap hentak berkembar yang diperkemas. Brek pula menggunakan jenis dram keseluruhannya.

Motosikal ini menghasilkan sebanyak 4.9 kW pada 8000rpm dengan tork 6.7 Nm pada 6,000 rpm. Ia juga dilengkapi sistem brek drum hadapan dan belakang yang turut dilengkapi dengan sistem kejutan kembar dan fork teleskopik untuk penunggangan yang lebih berkesan. Bagi kotak gear pula, ia dilengkapi dengan empat-kelajuan. Bagi enjin, ia sama dengan unit sebelum ini, dibekalkan oleh pengeluar China, Zongshen dan bukannya dibekalkan oleh Kawasaki.

Ciri-ciri lain termasuk reka bentuk baru pada lampu hadapan dan belakang lebih sporty, manakala tangki minyak dengan kapasiti 4.2 liter mampu meliputi 200 km dengan setiap tangki penuh. Antara lain Kriss 110 ini ditawarkan dalam pilihan warna baru yang menarik, terdiri dari gabungan hitam-kuning, hitam-biru, hitam-putih dan hitam-hijau.