Bagi pemilik Toyota Hilux yang ingin membuatkan trak pikap anda lebih ohsem, ni ada kit badan terkenal dari Jepun yang baru saja dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Rekaan dan keluaran syarikat talaan terkenal, Wald, kit badan Sports Line Black Bison Edition ini memberikan gaya yang lebih agresif buat Hilux, bermula dengan bampar hadapan bersama corong pengambilan udara ala-Mercedes-benz dan skid plat perak. Malah pembeli juga boleh memilih lampu LED dan bonnet scoop serta bug shield

Fender pula lebih besar, ditambah 55 mm dengan kelebaran trak pada kedua-belah sisi. Bahagian belakang pula ditampilkan dengan tailgate spoiler yang diletakkan lampu belakang, bersama dekorasi pada bampar.

Wald turut menawarkan roda aloi 12-jejari Jarret sama dengan saiz 20 atau yang lebih besar 22-inci, serta tiga corong ekzos yang cukup menonjol.

Pengedar tempatan, JR Parts Centre di Bandar Sunway, bertanggungjawab dalam mengedarkan kit badan ini, tapi disebabkan ia didatangkan khas dari Jepun, maka harganya bukanlah murah. Bagi keseluruhan set, yang diperbuat daripada gentian fiber untuk bampar hadapan dan belakang, over-fender dan tailgate spoiler, ia ditawarkan pada harga RM15,600. Manakala set tanpa tailgate spoiler pula hanya RM11,500. Dan jika hanya mahu bampar hadapan dan belakang, set ini berharga RM5,500.

Harga ini tidak termasuk lampu hadapan LED, yang berharga RM1,200. Untuk komponen tunggal, bampar belakang ditawarkan pada harga RM2,050, over-fender pula RM6,000, tailgate spoiler belakang RM3,700, spoiler bumbung hadapan (tiada dalam gambar, lengkap dengan lampu LED), pada harga RM4,400, bug shield untuk bonet pula RM2,600 dan bonnet scoop RM4,000. Kalau nak dapatkan set bug shield dan skop bonet, harganya RM6,800.

Roda juga boleh tahan mahal, dengan set 20-inci berharga RM13,000 dan bagi 22-inci pula RM17,800. Pengedar ini berkata harga bagi sistem ekzos akan diumumkan kemudian.