Proton Iriz R5 – kami bongkar cerita dari Chris Mellors!

Proton Iriz R5 – kami bongkar cerita dari Chris Mellors!

Berita berkenaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) membina jentera rali R5 menggunakan Proton Iriz pada tahun 2016 benar-benar mengundang sensasi. Saya sendiri sebagai peminat perlumbaan dalam disiplin rali sudah tentu sangat teruja ketika menaip artikel berkenaan teaser yang terbit dari laman facebook MEM ketika itu.

Tambahan pula MEM bukanlah nama asing jika anda mengikuti perkembangan sejarah sukan permotoran Proton. Ini kerana firma pembina kereta lumba berkenaan telah lama bergandingan dengan Proton, bukan sahaja membina jentera Satria Neo S2000 yang telah menjuarai Kejohanan Rali Asia Pasifik (FIA APRC) pada tahun 2011, malah mereka juga bertanggungjawab menyediakan Proton PERT Evo VI untuk Karamjit Singh bagi bergelar juara WRC dalam kategori produksi (PWRC) pada tahun 2002.

Kerana jarak yang begitu jauh antara ibu pejabat MEM di Bakewell, UK dan Malaysia, berita yang kami sampaikan lazimnya bersumberkan laman facebook dan laman sesawang rasmi mereka. MEM sendiri juga pernah mengutus emel kepada kami bagi menghargai apa yang kami lakukan dengan melaporkan perkembangan jentera Iriz R5 tersebut dan menyebarkannya untuk peminat di Malaysia.

Proton Iriz R5 – kami bongkar cerita dari Chris Mellors!

Pengasas Mellors Elliot Motorsport, Chris Mellors

Namun peluang keemasan tiba pada bulan lalu setelah diberitahu bahawa prinsipal dan pemilik pasukan MEM, Chris Mellors datang ke Malaysia untuk berberapa urusan. Tanpa berlengah, satu sesi temu ramah telah berjaya kami aturkan, bagi mendengar sendiri segalanya berkenaan Proton Iriz R5 berkenaan dari mulut Chris sendiri, terutamanya mengapa mereka masih menggunakan Proton sebagai jentara rali sedangkan ia tidak lagi dijual di UK seperti Satria Neo dahulu.

Bagi membuka cerita bagaimana projek Iriz R5 ini, Chris mendedahkan bahawa selepas Proton melancarkan hatchback segmen-B berkenaan pada tahun 2014, Tun Dr. Mahathir yang ketika itu masih pengerusi Proton mula menghubungi Chris semula dan bertanya adakah Iriz ini sesuai untuk dijadikan kereta rali. Ya benar, semuanya bermula dari Tun sendiri!

Kemudian MEM memeriksa sendiri Iriz berkenaan adakah kereta tersebut sesuai dijadikan jentera rali R5 atau tidak. Menurut Chris, memang benar semua kereta boleh ditransformasikan kepada kereta rali, tetapi untuk menghasilkan sebuah kereta rali yang kompetitif menurut undang-undang R5, platform kereta berkenaan haruslah sangat baik.

Proton Iriz R5 – kami bongkar cerita dari Chris Mellors!

Ini kerana, secara asasnya walaupun bahagian belakang kereta berkenaan boleh diubahsuai menggunakan gandar belakang untuk sistem 4WD (kesemua jentera R5 seperti Ford Fiesta dan Skoda Fabia menggunakan gandar yang sama, diluluskan oleh FIA sendiri) dan juga sistem suspensi bebas bagi menggantikan torsion beam asal, tetapi geometri dan juga kedudukan cagak untuk suspensi hadapan hampir tidak boleh diubahsuai.

Jika suspensi hadapan dari model produksi tidak benar-benar bagus, ia akan menjejaskan dinamik dan kesimbangan suspensi belakang untuk kereta rali R5 yang siap nanti. Faktor ini adalah kelebihan kepada Iriz, kerana ia sememangnya dihasilkan dengan suspensi hadapan yang benar-benar bagus menampilkan lengan bawah jenis wishbone sebenar dan bukan hanya jenis boomerang arm seperti kebanyakkan model-model lain dalam pasaran.

Kemudian menurut Chris, Iriz juga mempunyai kelebihan dari segi dimensi. Iriz walaupun sebuah kereta yang pendek, ia mempunyai jarak roda yang cukup jauh dan hampir menyamai jarak roda Volkswagen Golf Mk6. Dengan jarak roda dan juntaian hadapan dan belakang yang pendek, ia secara tidak langsung memberikan kestabilan yang cukup baik kepada Iriz terutamanya sebagai sebuah kereta rali.

Proton Iriz R5 – kami bongkar cerita dari Chris Mellors!

Pemandu utama Proton Iriz R5, Oliver Mellors yang juga anak kepada Chris Mellors

Dengan gabungan suspensi hadapan yang begitu baik dan juga dimensi jarak roda dan juntaian yang sempurna, Iriz R5 ini disifatkan Chris mempunyai karekter pengendalian seakan go-kart dan sentiasa stabil ketika dibelasah mengambil selekoh dengan agresif serta ketika melompat dan mendarat semula ke permukaan tanah – faktor ini juga menurut Chris membuatkan juara WRC dua kali Marcus Grönholm terkejut ketika menguji Iriz R5 pada tahun 2017.

Sambung Chris lagi, kelebihan Iriz sebagai sebuah kereta rali adalah rekaan hadapannya seolah-olah memang direka untuk sistem penyejukkan sebuah kereta lumba. Chris menjelaskan bahawa menurut regulasi FIA, mereka tidak boleh melakukan banyak pengubahsuaian pada bahagian hadapan untuk mendapatkan aliran udara terbaik.

Dan Iriz tidak mengecewakan kerana dengan ‘mulut’ yang begitu besar pada bampar (model pre-facelift) dan juga hidung yang agak tinggi, membolehkan Iriz R5 ini diberikan unit intercooler paling besar berbanding jentera R5 lain!

Jadi dengan semua kelebihan yang ada pada Iriz berkenaan, projek menghasilkan jentera R5 dari hatchback dari Tanjong Malim tersebut bermula pada tahun 2016. Menurut Chris lagi, Iriz juga mempunyai daya penariknya tersendiri. Tidak seperti Ford Fiesta, Skoda Fabia atau Volkswagen Polo yang begitu banyak di Eropah, kemunculan Iriz dalam dunia rali R5 di benua itu mengundang sensasi yang cukup unik kerana ramai yang tidak pernah melihat model produksi sebenar kereta tersebut.

Jadi apabila Iriz R5 ini membuat penampilan, ramai yang bertanya “apa jenama kereta berkenaan?” dan “dari mana datang jenama Proton ini?” Secara tidak langsung publisiti itu sendiri datang kepada pasukan MEM.

Soalan paling popular, kenapa Iriz R5 ini diberikan enjin 4B11T yang dikecilkan kepada 1.6 liter dan tidak sahaja terus menggunakan enjin Campro S4PH 1.6 liter Proton? Jawapan dari Chris agak menarik dan membuka mata; anda perlu membaca artikel seterusnya pada PAUTAN INI.

Sebelum tu, sekarang jelas kenapa Iriz R5 ini begitu cemerlang dalam setiap rali yang disertainya? Dan jelas juga kenapa model produksi Iriz mempunyai pengendalian yang cukup baik berbanding pesaingnya?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required