Awal tahun ini pembina kereta rali dari Poland, Dytko Sport telah menghasilkan kit badan ‘Evo XI’ untuk dipadankan pada Mitsubishi Lancer Evolution X yang digelar sebagai Edition R. Tetapi ketika itu, harga kit badan ini tidak dinyatakan, dan setelah penulis menyemak semula di laman sesawang mereka, harga kit badan ini sebenarnya telah diumumkan iaitu 3,500 euro atau sekitar RM16,000.

Walau bagaimanapun, harga tersebut tidak termasuk lampu dan pemasangan – menurut Dytko pemasangan kit ini ke badan Lancer Evo X adalah mudah. Walaupun Dytko adalah penala bebas dan bukan divisi rasmi Mitsubishi, kit Edition R ini direka seiring dengan rekaan signatur Dynamic Shield terbaharu Mitsubishi seperti Mirage facelift 2019 dan juga Outlander. Jika anda pertama kali melihatnya, tentu percaya ini adalah Evo XI yang benar-benar dihasilkan oleh Mitsubishi.

Lampu hadapan Edition R ini kelihatan seperti diambil terus dari Mitsubishi Eclipse Cross. Kemudian, ia dipadankan dengan gril juga seakan dari crossover tersebut, bersama kemasan sekeliling berwarna perak yang membuatkan seolah-olah ada huruf ‘X’ pada mukanya.

Bagi menyesuaikan muka baharu Evo ini, Dytko turut menghasilkan bonet hadapan baharu yang turut menampilkan skup pada bahagian tengah bersama sepasang liang udara. Jika anda perhatikan, Edition R ini juga diberikan badan yang lebih lebar dari Evo X standard. Dytko menghasilkan fender hadapan lebih lebar diserasikan dengan apron hadapan yang lebih agresif bersama liang udara besar kelihatan seperti mengalirkan udara dari bampar hadapan ke bahagian sisi.

Fender belakang turut dilebarkan, manakala lampu belakang juga menerima sentuhan semula dengan rekaan ‘two-piece‘ baharu menampilkan kemasan hitam yang menjadikan ia bersambung antara kedua-dua sisi. Elemen ‘X’ turut diberikan pada bahagian ini, dan Dytko telah membuatkan kit badan mereka tersebut nampak lebih bulat berbanding Evo X asal yang bersegi. Walau bagaimanapun, spoiler ‘tiang gol’ Evolution X masih dikekalkan pada ‘Evo XI’ ini.

Mitsubishi Evolution X diperkenalkan buat pertama kali pada Oktober 2007, bermaksud ia kini sudahpun berusia lebih dari 10 tahun. Ketika diperkenalkan, ia dijana oleh enjin 2.0 liter MIVEC Turbo 4B11T berkuasa 280 PS. Kumpulan terakhir Lancer Evolution X ini diproduksi pada tahun 2015, dihasilkan hanya 1,500 unit dengan nama Evolution X Final Edition.


GALERI: Mitsubishi Lancer Evolution Edition R Dytko Sport

GALERI: Mitsubishi Lancer Evolution X Final Edition