Tempoh hari, kita sudah pun melihat imej Perodua Bezza facelift 2020 yang sedang diagihkan ke pengedar-pengedar, dan kali ini kami menerima pula brosur model kemaskini berkenaan yang memaparkan bukan sahaja harga, malah kelengkapan untuk setiap varian.

Sedikit berbeza dari model sedia ada yang hadir dalam lima varian, Bezza 2020 ditawarkan dalam hanya empat varian, bermula dengan model asas Bezza 1.0 GX Manual berharga RM34,580, Bezza 1.0 GX Automatik berharga RM36,580, Bezza 1.3 X Automatik berharga RM43,980 dan model tertinggi Bezza 1.3 AV berharga RM49,980 – model 1.3L dengan transmisi manual kini digugurkan.

Dari segi penawaran, nampaknya kesemua varian Bezza akan hadir standard dengan lampu hadapan LED, skirt sisi dengan warna badan, penderia undur serta sistem brek ABS bersama EBD. Bezza juga kali ini datang dengan sistem kestabilan elektronik (ESC) dan juga kawalan cengkaman (TRC), tetapi hanya untuk model pertengahan Bezza X dan model tertinggi Bezza AV menerima sistem keselamatan aktif ini.

Seperti juga kembar hatchbacknya Perodua Axia, Bezza AV turut hadir dengan sistem bantuan pemanduan ASA 2.0 yang merangkumi sistem seperti Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera pada cermin utama.

Model X dan AV juga akan hadir dengan pelbagai ciri premium lain antaranya sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, penderia parkir hadapan, gril dengan kemasan krom dan juga rim aloi bersaiz 15-inci. Walau bagaimanapun, hanya Bezza AV yang diberikan cermin sisi boleh lipat berkuasa.

Dalam brosur tersebut turut memaparkan Bezza akan ditawarkan dengan enam warna – dua adalah warna baharu, salah satu daripadanya digelar Garnet Red.

Kami masih belum dapat imej penuh luaran dan dalaman Bezza facelift ini. Tetapi berdasarkan spyshot sebelum ini, Bezza 2020 nampaknya diberikan perubahan ketara pada bahagian muka – menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis dan tajam, bersama bampar hadapan baharu dengan perumah lampu kabus/kemasan liang udara sisi yang direka lebih bersegi dan agresif.

Rekaan lampu belakang masih lagi nampak sama, tetapi bampar pada bahagian ini kelihatan lebih ‘sibuk’ dengan pemadanan kemasan untuk reflektor yang besar dan nampak seperti liang udara palsu seakan pada Axia facelift dan Myvi, serta kemasan seakan diffuser juga jauh lebih besar dari sebelum ini.

Pada bahagian sisi, dapat dilihat kemasan skirt sisi juga berubah bentuk, dan ia kini diberikan set rim aloi dua-tona dengan rekaan baharu. Untuk keseluruhan, Perodua mungkin mahukan Bezza facelift ini kelihatan lebih hampir dengan model sedan konsep Perodua yang muncul pada tahun 2010.

Kami jangkakan tiada sebarang perubahan besar untuk sistem mekanikal pada Bezza kemaskini ini, dan ia masih akan dijana enjin 1KR-VE 1.0 liter VVT-i berkuasa 67 hp/91 Nm dan enjin 1NR-VE 1.3L Dual VVT-i berkuasa 94 hp/121 Nm, serta digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik E-AT empat-kelajuan yang sama.