Untuk anda yang berada di Kajang, ini ada makluman daripada polis daerah berkenaan yang bakal
melaksanakan penutupan lapan jalan di beberapa lokasi dan menambah lokasi sekatan jalan raya bermula 8 April ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussoff, penutupan kekal melibatkan lapan jalan berkenaan adalah bagi mengehadkan perjalanan orang ramai agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan fasa dua bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Laluan terbabit ialah Jalan Sungai Chua-Susur Terowong KTM, Jalan Reko-MRT, Jalan Cheras- Jalan Timur (depan Masjid Jamek Kajang), Jalan Semenyih-Jalan Low Ti Kok, susur turun ke Jalan TTDI Grove 2/1 dari arah Persiaran Saujana Impian, Jalan TTDI Grove 1/1, Persiaran Saujana Impian-Jalan Melor 1, Jalan Sungai Kantan dari arah Desa Jenaris dan dari arah Persiaran Saujana Impian serta sempadan Bandar Seri Putra- Nilai 3.

Bagaimana pun, terdapat laluan alternatif yang boleh digunakan iaitu dari arah Persiaran Saujana Impian dan Lebuhraya Grand Saga bolehlah melalui Jalan Cheras ke Kajang. Sementara yang datang dari arah Sungai Chua boleh melalui Lebuhraya SILK untuk ke Lebuhraya Grand Saga ke Jalan Cheras Kajang.

Selain itu, orang ramai yang datang dari Jalan Reko boleh melalui Lebuhraya SILK, Jalan Bukit ke Pekan Kajang, Jalan Low Ti Kok, Jalan Timur melalui Jalan Cempaka Kuning, Cempaka Putih, Pekan Kajang dan laluan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Mahkamah Kajang, MPKJ, dan Kajang Plaza Medical Centre adalah melalui Jalan Timur dan Cempaka Kuning.

Ahmad Dzaffir turut memaklumkan, pasukannya akan menambah tiga sekatan jalan raya di tiga lokasi iaitu KM1 Lebuhraya Besraya (hala ke UPM), Sungai Ramal Dalam (hala ke Putrajaya), dan Jalan Cheras Batu 14 (depan KPJ Kajang–hala ke Kajang) bermula tengah malam 8 April ini.

Ia sebagai penambahan kepada tujuh lokasi sekatan jalan raya yang telah dilaksanakan iaitu di Lebuhraya Grand Saga (hala ke Kuala Lumpur), Plaza Tol Kajang, Plaza Tol Bangi, Plaza Tol Bandar Sri Putra, Plaza Tol Kajang Selatan (LEKAS), Batu 21 Sungai Lui, Hulu Langat, dan SJR Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat.