Bodo Chronus – kereta elektrik dari China dieksport ke Eropah; motor 10 hp, kelajuan maksima hanya 65 km/j

Bodo Chronus – kereta elektrik dari China dieksport ke Eropah; motor 10 hp, kelajuan maksima hanya 65 km/j

Di China, selain kereta-kereta elektrik mikro dikenali sebagai Kereta Elektrik Berkelajuan Rendah (LSEV) seperti Mini EV X2 yang tular tempoh hari, mereka turut banyak menghasilkan kereta-kereta elektrik bersaiz sebenar. Tetapi boleh dikatakan majoriti model-model berkenaan hanya untuk pasaran domestik China dan tidak dieksport keluar.

Kereta elektrik dengan saiz yang hampir kepada hatchback segmen-A ini antara salah satu dari beribu model elektrik di China, di beri nama Bodo Chronus. Namun tidak seperti namanya, pengeluar dari Anhui ini cukup pintar dengan menghasilkan versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan menerima Type Approval dari EEC membolehkan ia dijual di pasaran Eropah.

Bodo Chronus dihasilkan dengan dimensi 3,520 mm panjang, 1,570 mm lebar, 1,490 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,345 mm. Berbanding Perodua Axia, Chronos ini adalah 120 mm lebih pendek, 50 mm kurang lebar, 20 mm lebih rendah dan jarak roda 110 mm lebih dekat. Berat kereta elektrik ini pula hanya 769 kg atau sekitar 81 kg lebih ringan dari Axia.

Bodo Chronus – kereta elektrik dari China dieksport ke Eropah; motor 10 hp, kelajuan maksima hanya 65 km/j

Ia dijana oleh motor elektrik berkuasa 7.5 kW atau hanya sekitar 10 hp, memacu roda hadapan. Sebagai perbandingan, Axia digerakkan dengan enjin berkuasa 67 hp, jadi anda boleh bayangkan macam mana punya lembab Bodo Chronus ini bila pedal pendikit dikerah sepenuhnya. Pengeluar kereta ini turut menyatakan bahawa ia hanya mampu mencapai kelajuan maksima 65 km/j.

Motor elektrik tersebut menerima kuasa dari bateri Lithium Lipo4 10.8 kW/j 12V yang boleh dicaj penuh dalam tempoh sekitar 8 hingga 10 jam dengan pengecaj 220V. Dengan satu caj bateri penuh, Bodo Chornus mampu bergerak sekitar 120 hingga 150 kilometer.

Bodo Chronus – kereta elektrik dari China dieksport ke Eropah; motor 10 hp, kelajuan maksima hanya 65 km/j

Walaupun spesifkasi kereta ini seakan kereta mainan, ia menerima kelengkapan yang cukup seperti kereta sebenar. Antara ciri-ciri yang dibekalkan termasuk sistem pendingin hawa, cermin tingkap berkuasa untuk kesemua pintu, tempat duduk balutan kulit, skrin infotainmen yang boleh memainkan fail MP5, penderia parkir dan juga kamera undur.

Di Eropah, pengedar utama kereta ini berpusat di Kepulauan Malta, dan turut di bawa ke pasaran lain seperti UK, Jerman, dan pelbagai lagi. Bodo Chronus dijual pada harga bermula 12,900 euro atau sekitar RM60k sekiranya pembeli memilih skim skrap kereta lama. Boleh tahan juga harga dia, tak lah murah sangat kan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required