Seperti yang dijangka sebelum ini, bulan April 2020 menyaksikan prestasi jualan yang begitu mendukacitakan dalam industri automotif tempatan di mana ia jatuh hampir 100%, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Menurut data yang dikongsikan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), hanya 141 unit kereta yang berjaya dijual dan didaftarkan pada April. Ini menyaksikan penyusutan sebanyak 22,337 unit atau 99.37% berbanding 22,478 unit pada Mac, yang juga 44% lebih rendah daripada jualan yang direkodkan pada Februari 2020.

Walau bagaimana pun, menjadi tanda tanya, bagaimana jumlah yang direkodkan pada April iaitu 131 daripadanya adalah kenderaan penumpang dan 10 unit lagi merupakan kenderaan komersial, sempat didaftar dalam tempoh semua bilik pameran dan juga pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditutup dalam tempoh PKP? Menurut sumber dalam industri, disebabkan kenderaan baharu tidak perlu menjalami pemeriksaan Puspakom, ia hanya perlu didaftarkan sahaja dan boleh dilakukan menerusi dalam talian sepanjang tempoh PKP.

Sumber terbabit turut memaklumkan, pendaftaran kenderaan baharu yang dibuat itu setelah pinjaman bank telah diluluskan dan Surat Kebenaran/Persetujuan (LoU) dari bank juga telah dikeluarkan, maka pendaftaran boleh dilakukan di mana ia tidak memerlukan keseluruhan proses dilakukan sekali lagi kerana perjanjian yang termaktub tidak terluput.

Namun, kenderaan yang didaftarkan itu tidak memiliki dokumen fizikal atau cukai jalan, jadi, pemilik tetap tidak boleh menggunakan kenderaan terbabit.

Bagi data jualan April 2020, Perodua masih mendahului carta dengan terjual sebanyak 57 unit, menyaksikan penyusutan teruk berbanding 8,601 unit pada bulan sebelumnya. Manakala Honda pula hanya berjaya menjual sebanyak 27 unit.

Diikuti dengan Proton (22 unit) dan Toyota (13 unit), Nissan pula di tempat kelima dengan terjual lapan unit sahaja, sementara Mitsubishi pula terjual enam unit.

Jenama Eropah yang sering mencatatkan prestasi jualan terbaik, Volkswagen, berjaya menjual sebanyak lima unit, manakala Peugeot dan Volvo masing-masing satu unit sahaja. Bagi jenama terkemuka Korea Selatan, Hyundai, pula hanya terjual satu unit. Memandangkan bilik pameran dan pejabat JPJ telah kembali beroperasi, maka bulan Mei dilihat mampu memberikan semula ‘nafas’ kepada industri automotif dan diharap dapat membantu menaikkan semula prestasi jualan yang lesu sepanjang bulan lalu.