Semalam tular ada yang mengatakan terdapat orang awam yang dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka walaupun dalam kereta sendiri. Namun menerusi sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diadakan sebentar tadi oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri memberi pencerahan berkenaan perkara tersebut.

Dalam laporan Berita Harian, menteri berkenaan menyebut bahawa setelah berbincang dengan polis dan Kementerian Kesihatan (KKM), saman yang dikenakan terhadap individu yang tidak memakai pelitup muka di dalam kenderaan persendirian akan dibatalkan. “Kalau mereka sudah pun membayar kepada KKM, ia boleh dituntut semula,” jelasnya lagi.

Menurut Ismail Sabri, tempat-tempat yang diwajibkan perlu memakai pelitup muka tersebut telah jelas dinyatakan dalam laman sosial rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kawasan-kawasan tersebut adalah di pengangkutan awam seperti bas, teksi, kenderaan e-hailing atau LRT dan KTM serta tempat-tempat awam yang sesak seperti pasar awam, pasar tani, pasar malam dan juga pasar raya, serta tempat tumpuan pelancong dan panggung wayang.

Beliau sekali lagi menjelaskan bahawa pemakaian pelitup muka adalah tidak diwajibkan di rumah dan di dalam kenderaan sendiri. Walau bagaimanapun, menteri berkenaan menasihatkan orang ramai agar sentiasa memakai pelitup muka berkenaan setiap kali keluar dari rumah bagi mengurangkan risiko jangkitan virus Covid-19 ini.

Kerajaan mula mewajibkan pemakaian pelitup muka ditempat-tempat yang telah ditentukan ini bermula pada 1 Ogos lalu setelah kes-kes positif jangkitan Covid-19 dilihat naik semula dalam negara. Mereka yang dikesan gagal mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini bakal dikenakan kompaun iaitu denda sebanyak RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).