Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa dua model mereka iaitu Civic facelift dan BR-V facelift kini boleh dipilih dalam warna premium Platinum White Pearl. Warna yang pertama kali diperkenalkan pada Odyssey facelift dan kemudian Accord generasi ke-10 ini akan menggantikan penawaran White Orchid Pearl sedia ada.

Menurut pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama, keputusan yang diambil untuk mengubah penawaran warna putih ini terhadap dua model terbabit diambil selepas menerima maklum balas positif dari pelanggan Honda Accord.

White Orchid Pearl merupakan warna yang popular di kalangan pelanggan Honda, yang menyumbang masing-masing kepada 38% dan 25% dari jumlah keseluruhan jualan Civic dan BR-V. Ketika kami memperkenalkan warna Platinum White Pearl pada Accord awal tahun ini, kami lihat penerimaan yang baik pada pasaran untuk warna ini yang menyumbang 33% dari jumlah jualan model tersebut,” kata Ishiyama.

“Kami memperluaskan warna ini kepada model peneraju segmen-C dan juga crossover tujuh-tempat duduk yang dikemaskini sebagai respon dari maklumbalas pelanggan,” jelasnya lagi.

Bagi pelanggan yang akan memilih warna Platinum White Pearl tersebut pada Civic dan BR-V, mereka akan dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM272.73. Pelanggan terawal yang memilih warna ini akan menerima kereta mereka bermula pada November nanti.