Bulan lalu Honda telah mendedahkan versi baru untuk skuter PCX di Eropah yang menggunakan banyak bahagian baru, tetapi dengan kapasiti enjin 125 cc. Enjin itu bagi menyesuaikannya dengan segmen di sana, tetapi apa yang boleh diambil sebagai petunjuk adalah peningkatan lain yang akan diserap kepada PCX berkapasiti lebih tinggi untuk pasaran negara lain.

Ternyata model itu wujud dan telah ditunjukkan kali pertama oleh Honda di Jepun. Menariknya, selain PCX 125, Honda juga memperkenalkan PCX 160 dan PCX e:HEV. Daripada namanya anda sudah boleh menjangka PCX telah diberikan peningkatan kapasiti enjin.

PCX 160 dikuasakan oleh enjin satu silinder empat injap berkapasiti 156 cc bersama sistem suntikan bahan api, SOHC dan penyejukan cecair. Enjin yang menggunakan nisbah mampatan tinggi 12:1 ini mampu menghasilkan kuasa 15.8 PS pada 8,500 rpm dan 15 Nm tork pada 6,500 rpm, sekaligus menjadikannya 1.1 PS dan 1.8 Nm tork lebih berkuasa berbanding PCX 150 yang berada dalam pasaran kita sekarang.

Antara peningkatan yang dibuat pada enjin ini untuk menjadikannya lebih responsiif, mesra alam dan lancar adalah ekzos baru, salur kemasukan udara lebih cekap, penggunaan cam chain tensioner lifter hidraulik serta rekaan crankshaft baru. Enjin ini juga datang dengan ciri start/stop menggunakan ACG Starter.

Selain daripada enjin baru ini, PCX 160 turut menerapkan peningkatan lain seperti PCX 125 yang dilancarkan di Eropah termasuk penampilan serba baru dengan lampu LED, penghadang angin hadapan lebih besar, tempat duduk lebih selesa serta tinggi tempat duduk cuma 764 mm.

Ruang simpanan di bawah tempat duduk adalah 2.4 liter lebih besar, dengan kapasiti penuh 30.4 liter, dan ia turut dilengkapi dengan soket pengecas USB. Bagi kunci pintar yang digunakan untuk model ini, selain mengawal butang pemula enjin dan ruang simpanan bawah tempat duduk, ia juga boleh mengawal kunci untuk kotak barangan belakang yang dijual berasingan. Sekiranya pemilik beredar dan kotak itu masih belum dikunci, ia akan terkunci sendiri.

Di bahagian kokpit, panel instrumen LCD menggunakan paparan baru dan skuter ini juga didatangkan standard dengan sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC). Kerangka model ini juga diubah untuk menjadikannya lebih tegap, dan sekarang mempunyai berat 132 kg, manakala tangki bahan api berkapasiti 8.1 liter.

Rim bersaiz sama antara depan dan belakang pada model sebelum ini telah diubah dengan kini menggunakan saiz 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang (tayar 110/70 dan 130/70). Suspensi hadapan masih lagi sama tetapi dua penyerap di belakang mempunyai tahap gerak yang lebih panjang iaitu 95 mm. Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan cakera tetapi ABS cuma ada pada bahagian hadapan.

Bagi model hibrid PCX e:HEV, ia menggunakan gabungan enjin 125 cc baru dengan motor elektrik AC yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion, untuk memberikan tambahan kuasa 1.9 PS dan 4.3 Nm tork apabila memecut kepada kuasa 12.5 PS dan 12 Nm yang boleh dihasilkan oleh enjin pembakaran dalaman itu.

Selain menawarkan penjimatan bahan api dan pecutan lebih pantas, model hibrid ini juga datang dengan dua mod tunggangan iaitu D untuk keadaan biasa dan S untuk rasa yang lebih sporty. Ruang simpanan bawah tempat duduk model ini bagaimanapun adalah sedikit lebih kecil.

GALERI: Honda PCX 160 2021

GALERI: Honda PCX e:HEV 2021