Seperti Nissan dan Toyota, Mazda juga kini hadir dengan program Heritage Parts, iaitu program produksi semula alat-alat ganti untuk kereta sport klasik mereka. Untuk kali ini, program berkenaan diperkenalkan untuk kereta sport ikonik dengan enjin wankel rotary, Mazda RX-7.

Walau bagaimanapun, ia hanya ditawarkan untuk RX-7 genarasi kedua (FC3S) dan generasi ketiga (FD3S), tanpa menyenaraikan model generasi pertama Savanna SA22. Menurut Mazda, mereka akan memproduksi semula 30 jenis alat ganti untuk FC3S dan 61 alat ganti untuk FD3S, dan kesemuanya akan mula dijual bermula Februari 2021.

Antara alat-alat ganti yang ditawarkan termasuk tiub-tiub vakum, getah-getah bushing untuk suspensi, kit pembaikkan semula sistem brek dan pelbagai lagi. Mazda turut menyatakan bahawa lebih banyak alat ganti akan diproduksi semula selepas ini. Bagi mendapatkan alat-alat ganti ini, anda perlu datang sendiri ke pengedar-pengedar rasmi Mazda di, er um, Jepun.

Sebelum ini, program serupa turut ditawarkan untuk satu lagi kereta sport klasik Mazda iaitu Miata MX-5/Eunos Roadster generasi pertama (NA). Untuk model berkenaan, jenama dari Hiroshima berkenaan turut mengumumkan program restorasi kilang pada Ogos 2017, dan kereta pelanggan pertama ‘dilahirkan’ semula siap setahun selepas itu.

Toyota juga telah menghasilkan semula sebahagian alat ganti untuk kereta sport ikonik mereka iaitu Toyota Supra generasi ketiga (A70) dan keempat (A80). Manakala untuk Nissan, sayap perlumbaan mereka iaitu Nismo pada awalnya hanya menawarkan alat ganti baharu termasuk enjin RB26DETT untuk Nissan Skyline GT-R R32, R33 dan R34, kemudian turut menawarkan program restorasi penuh kilang pada tahun ini.