Proton sasar untuk gandakan jualan eksport pada 2021

Proton sasar untuk gandakan jualan eksport pada 2021

Selepas menjadi antara jenama yang mencatatkan pertumbuhan jualan di Malaysia walaupun terjejas akibat pandemik Covid-19 tahun lalu, Proton mengumumkan bahawa mereka akan mengharungi cabaran 2021 dengan berusaha untuk menggandakan jualan eksport ke luar negara.

Menurut Proton, pelbagai usaha telah dibuat untuk usaha ini bermula pada Disember tahun lalu, termasuk permulaan operasi CKD di Kenya, serta pelancaran Proton X70 di Pakistan. Syarikat berkenaan menyatakan bahawa langkah-langkah tersebut telah pun menyumbang kepada pertumbuhan jualan eksport sebanyak 50% pada akhir tahun 2020 berbanding pasaran tempatan yang hanya mencatakan pertumbuhan sebanyak 8.8%.

Untuk tahun ini, Proton mengandaikan pasaran eksport tidak akan terjejas kerana wabak Covid-19. Syarikat berkenaan menyatakan bahawa Proton Saga akan menerajui usaha yang disasarkan tersebut, manakala model-model terkini termasuk SUV Proton X70 dan X50 turut akan dieksport keluar secara beransur-ansur.

Proton menyatakan pasaran eksport adalah sangat penting buat mereka untuk jangka masa panjang, dengan sasaran untuk menjadi jenama automotif dalam kelompok tiga tertinggi di ASEAN dari segi jualan. “Walaupun mendahului jualan di pasaran tempatan akan tetap menjadi matlamat utama, pihak syarikat akui bahawa kami perlu menambah jumlah jualan antarabangsa untuk berkembang pada masa hadapan,” jelas Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Proton sasar untuk gandakan jualan eksport pada 2021

Jenama berkenaan turut mengumumkan bahawa tugas untuk memperluaskan pasarannya ke luar negara akan digalas oleh Pengarah Jualan Antarabangsa, Steven Xu.

“Bahagian jualan antarabangsa Proton telah mencari banyak peluang bagi menambah jualan eksport dalam dua tahun kebelakangan ini. Kami telah menggunakan pelbagai strategi untuk mencapai matlamat ini termasuk menjual kenderaan CBU yang dibina di Malaysia serta menandatangani perjanjian dengan syarikat tempatan bagi membina kenderaan CKD di luar negara,” jelas Steven.

“Kami menyasarkan penambahan yang mendadak bagi 2020 tetapi rancangan tersebut terjejas akibat Covid-19. Walau bagaimanapun, kami berjaya menambah jualan eksport dan menembusi pasaran baru seperti Kenya serta melancarkan Proton X50 di Brunei hanya dua bulan selepas ia dilancarkan di Malaysia dan ini memberi dorongan positif untuk usaha kami tahun ini,” tambahnya lagi.

Antara usaha unik yang dibuat oleh Proton adalah memasarkan Saga dengan enjin berkapasiti 1,299 cc di Pakistan, berbanding 1,322 cc bagi pasaran Malaysia, bagi membolehkan Saga dijual pada harga lebih kompetitif bersesuaian struktur cukai di sana. Manakala untuk pasaran Mesir dan Nepal, Saga turut hadir dengan sistem pemanas kabin yang amat diperlukan ketika musim sejuk.

Proton juga menjelaskan bahawa model-model terkini seperti X70 dan X50 akan dijual diluar negara bagi memberikan imej bahawa Proton adalah sebuah jenama yang canggih bagi membolehkan mereka bersaing terus dengan jenama Jepun dan Korea. Kedua-dua model berkenaan menampilkan fungsi-fungsi terkini seperti sistem arahan suara dan juga sistem-sistem bantuan pemanduan (ADAS).

“Proton Saga tetap menjadi model yang popular di banyak negara kerana ketahanan, praktikaliti dan harga yang memberi nilai wang yang tinggi tetapi untuk menaikkan imej jenama kami, adalah penting bagi Proton X70 dan Proton X50 untuk dieksport juga. Ini adalah kerana kedua model ini dapat mempamerkan kebolehan Proton dan ini akan membantu membuka jalan bagi model kami yang lain pada masa hadapan,” tambah Steven.

Syarikat tersebut menyatakan bahawa mereka akan bekerjasama rapat dengan entiti tempatan pada setiap pasaran eksport berkenaan bagi memastikan rancangan pengenalan, promosi dan pelancaran produk adalah sesuai dengan keadaan pasaran tempatan.

“Jenama Proton kini berusia lebih 35 tahun dan walaupun ia mempunyai pengiktirafan jenama yang kuat dari aktiviti eksport dahulu dan penyertaan dalam sukan permotoran antarabangsa, produk kami tidak boleh didapati di banyak pasaran antarabangsa. Produk baru kami yang dikemas kini dan dikembangkan bersama Geely mempersembahkan peluang untuk mengubah naratif ini dan kami optimis ia akan menerima sambutan yang hebat di banyak pasaran baru,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah

“Dengan kerjasama rakan antarabangsa kami, Proton berhasrat untuk menyampaikan mesej yang konsisten di semua pasaran eksport kami dan ini akan mempermudah nama jenama Proton untuk memantapkan dirinya di lebih banyak pasaran antarabangsa. Ini sejajar dengan tujuan kami untuk mempromosikan Malaysia dan vendornya di peringkat serantau dan global. Akhirnya ini akan meningkatkan daya saing mereka dan memberi manfaat kepada ekonomi secara keseluruhan,” tambah Roslan lagi.
.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required