Bulan lalu, Peugeot telah memperkenalkan logo dan juga identiti baharu mereka. Walaupun logo terkini dengan imej kepala singa tersebut nampak sangat berbeza dengan ‘singa berdiri’ pada logo sebelumnya, ia sebenarnya menggunakan semula rekaan pada era 1960’an tetapi diberikan sentuhan moden dengan elemen lebih dua-dimensi.

Ini adalah perubahan kali ke-11 untuk logo Peugeot sejak jenama automotif Perancis berkenaan ditubuhkan pada 1850. Rombakan kali ini dibuat menandakan bahawa mereka sudah bersedia untuk masuk ke era digital dan elektrifikasi, serta menjadi jenama yang lebih premium dari sebelum ini.

Menurut Peugeot, identiti jenama mereka yang baharu ini akan mula digunapakai menerusi material-material komunikasi jenama dan juga di jaringan pengedar, dengan sekitar 20 outlet yang bertaraf flagship di seluruh dunia mengenakan identiti baharu berkenaan menjelang akhir bulan ini, serta 1,500 pengedar lain akan menggunakannya pada akhir 2021. Kesemua lokasi pengedar diseluruh dunia dijangka akan lengkap dijenamakan semula pada tahun 2023.

Peugeot Malaysia juga kini sudah mula beralih menggunakan logo dan imej korporat baharu berkenaan, yang anda boleh lihat sekiranya melayari laman sesawang rasmi dan juga pada platform media-media sosial rasmi mereka. Imej baharu ini juga sebenarnya sampai tepat pada masanya kerana Peugeot Malaysia kini baru sahaja melalui transisi yang sangat besar.

Bagi yang tidak tahu, Peugeot – yang mempunyai sejarah yang cukup lama di Malaysia – kini adalah di bawah pentadbiran Berjaya Auto Alliance Sdn Bhd untuk pasaran tempatan, selepas syarikat berkenaan mengambil alih dari Naza Group akhir tahun lalu.

BAASB adalah syarikat kerjasama antara Berjaya Corp dengan pegangan saham 51%, dan juga Bermaz Auto (juga pengedar Mazda di Malaysia) dengan kepentingan 20%. Jadi, Peugeot Malaysia semamangnya kini sedang memasuki satu era baharu.

“Kami mensasarkan untuk terus merevolusikan pengalaman pelanggan bersama dengan rakan kerjasama baharu kami, BAASB dan mengutamakan komitmen kami kepada pelanggan menerusi servis jualan dan selepas jualan yang cemerlang,” kata naib presiden Groupe PSA untuk Asia Tenggara, Laurence Noel dalam pengumuman yang dibuat pada 1 Disember 2020.

Walaupun sudah bertukar pengurusan, Malaysia masih lagi kekal sebagai hab eksport Peugeot untuk rantau ASEAN dengan pangkalan PSA yang terletak di Gurun, Kedah. Produk-produk baharu kini sedang dalam perancangan, bermula dengan Peugoet 2008 generasi kedua, yang sudah pun dilihat sedang diuji di Malaysia.

Peugeot Malaysia juga sebelum ini sudahpun menjanjikan “waranti 5+5 tahun” bagi memulihkan semula persepsi berkenaan servis selepas jualan mereka. Manakala logo baharu ini pula akan mula digunakan pada model 308 generasi baharu nanti.