Nampaknya muncul lagi berita bahawa ada usaha untuk membawa semula sukan Formula Satu (F1) ke Malaysia. Kosmo melaporkan bahawa Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sendiri mengakui pihaknya sedang melakukan perbincangan bersama penganjur perlumbaan untuk menganjurkan masuk semula perlumbaan berkenaan tidak lama lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif dalam laporan tersebut, keputusan akhir penganjuran F1 hanya terletak di tangan kerajaan selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.

“Apa yang saya boleh katakan, ketika ini kita sedang melakukan perbincangan dengan F1 dan buat masa ini kita belum dapat sebarang proposal lagi daripada pihak mereka.

“Buat masa ini masih dalam proses perbincangan. F1 akan kembali semula atau pun tidak ia bergantung kepada proposal dan juga keputusan kerajaan untuk membawa semula perlumbaan ini pada masa akan datang,” katanya dalam satu sidang video bersama pemberita semalam.

Beliau juga mengatakan bahawa pihaknya perlu melihat semula bagi tempoh 5 tahun sama ada F1 ini menguntungkan atau pun tidak.

“Jika ingin mengembalikan F1 sememangnya memerlukan perbelanjaan yang lebih besar berbanding MotoGP menyebabkan perkara ini masih dalam perbincangan untuk mengenalpasti pelbagai faktor untuk meneruskan rancangan tersebut,” jelasnya.

Malaysia mula menganjurkan F1 di litar berkenaan bermula pada musim 1999. GP Malaysia itu kemudiannya ‘direhatkan’ selepas 19-tahun dengan kali terakhir penganjurannya adalah pada musim 2017 ekoran mendapati acara tersebut tidak menguntungkan.

Idea untuk membawa semula F1 ke Malaysia ini telah disebutkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed pada Februari 2014, ketika itu beliau kembali semula ke kabinet dengan menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

Menurut Tun M, selepas beliau membawa F1 ke Malaysia, rakyat Malaysia turut memberi maklum balas bukan saja dengan menyaksikan perlumbaan F1, mereka mula berlumba sesama mereka dan sekarang Malaysia sangat bagus dalam sukan permotoran selain menjadi jurutera di belakang pasukan.

“Saya harap kita dapat menjana banyak perkara daripada perlumbaan di Sepang dan perbelanjaan yang dibelanjakan di trek ini berbaloi. Malah berharap perlumbaan ini akan diteruskan pada masa depan dan F1 dapat kembali dengan penuh gemilang,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, satu-satunya pelumba Malaysia yang pernah berlumba di F1, Alex Yoong menyatakan F1 bukan satu cara yang mengembangkan sukan permotoran dalam negara, malah mendakwa bahawa perlumbaan berkenaan telah merosakkan perkembangan industri tersebut di Malaysia.

“Secara keseluruhan idea berkenaan F1 adalah idea yang bagus. Tetapi anda boleh tengok ia adalah eksperimen yang gagal, maksud saya, untuk meletakkan Malaysia atas peta dunia, tak boleh dinafikan. Untuk pemasaran, tak boleh dinafikan. Hebat. Tetapi untuk perniagaan sukan permotoran, saya katakan ia sangat negatif.

“Kita ada fasiliti berkelas dunia (Litar Sepang), tetapi selepas itu mereka menutup dua litar (Batu Tiga dan Pasir Gudang) kita yang sempurna. Batu Tiga dan Pasir Gudang adalah litar yang hebat, tetapi ia sudah tiada lagi,” luah Alex Yoong dalam temu ramah oleh The Motorsport People Ogos tahun lalu.

Alex merasakan dunia sukan permotoran tempatan hampir mencapai tahap apa yang sepatutnya pada era 90’an, di mana litar Batu Tiga dan Pasir Gudang melahirkan ramai bakat-bakat dalam negara dari perlumbaan peringkat akar umbi, namun apabila F1 tiba di Malaysia, segala-galanya musnah.