Polis Kelantan mendedahkan bahawa pihaknya telah mengarahkan sejumlah 1,060 kenderaan (dalam tempoh 24 jam bermula pada 8 Mei sehingga pukul 8 pagi semalam) yang cuba masuk ke negeri berkenaan tanpa kebenaran rentas negeri berpatah balik .
Menurut laporan Berita Harian, kesemua kenderaan berkenaan dikesan di tiga sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri itu setelah cuba masuk tanpa mempunyai surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain ada yang mengemukakan pelbagai alasan tanpa bukti.
Menerusi apa yang diberitahu oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, kebanyakkan mereka yang mencuba nasib untuk pulang berhari raya di kampung halaman berkenaan sanggup memandu dari jauh termasuk Johor dan Lembah Klang.
“Mungkin mereka lepas di SJR lain, namun selepas pemeriksaan terperinci dilakukan di tiga SJR sempadan negeri iaitu Jeli, Pasir Puteh dan Gua Musang, kita dapati mereka gagal mengemukakan surat kebenaran yang sah.
“Ada juga yang menggunakan alasan pulang ke kampung kerana kes kecemasan, namun apabila ditanya lebih terperinci, mereka gagal menjawabnya. Sehubungan itu, kita terpaksa mengarahkan mereka berpatah semula,” katanya pada satu sidang media semalam.
Sehubungan itu Shafien mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba memasuki Kelantan tanpa sebarang surat kebenaran kerana pihaknya akan memeriksa secara teliti surat yang dikemukakan.
“Nasihat saya, sambutlah raya di kawasan masing-masing, jangan cuba rentas daerah, negeri,” katanya.
Mereka perlu dikompaun bukan setakat menyuruh patah balik.