Susulan dari kejadian sebuah kereta yang meletup hingga terputus dua semalam, Polis Kelantan hari ini menyatakan bahawa kejadian tersebut dipercayai kerana mangsa merokok dan pada masa sama dalam kenderaan itu mempunyai mercun bola dalam jumlah banyak, lapor Harian Metro.

Menurut akhbar berkenaan, kejadian tersebut berlaku pada 5.38 petang di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh, Kelantan menyebabkan seorang mangsa, Wan Hassan Wan Ali, 49, maut, manakala empat kenderaan lain turut terbakar. Dengan letupan yang agak kuat, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat menyatakan bahawa ia telah menyebabkan kemusnahan besar dan memberi kesan dalam jarak 100 meter termasuk kepada kenderaan berdekatan, masjid, rumah penduduk dan tadika.

“Kejadian ini pertama kali berlaku di negeri ini dan polis Kelantan memohon bantuan daripada Unit Forensik dan Unit Bom Bukit Aman untuk membuat analisis kejadian dan mereka dalam perjalanan ke negeri ini, hari ini. Hasil analisis termasuk punca kejadian dijangka akan diperoleh tidak lama lagi,” katanya pada sidang media siang tadi.

Mengulas lebih lanjut, Shafien berkata kejadian letupan itu berlaku ketika kereta sedang berhenti di lampu isyarat, dan ada saksi yang mengatakan bahawa ketika kejadian mangsa merokok dan membuka tingkap sedikit sebelum letupan berlaku.

“Letupan itu menyebabkan empat kenderaan rosak dan empat mangsa lain cedera termasuk seorang cedera parah. Semua mangsa yang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa jumlah kemusnahan dalam kejadian itu belum diketahui memandangkan mangsa lain termasuk penduduk di lokasi terkesan dengan kejadian belum membuat laporan polis. Shafien juga agar meminta semua mangsa tampil membuat laporan polis untuk memudahkan siasatan termasuk jumlah kerugian.

“Kami masih menyiasat sama ada mangsa terbabit dengan penyeludupan mercun atau tidak dan mangsa mempunyai dua rekod lampau termasuk berkaitan dadah serta pecah rumah.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti penyeludupan barang terlarang kerana ia adalah salah di sisi undang-undang dan boleh membawa padah kepada diri,” katanya.