BMW i4 akhirnya didedahkan secara penuh, dan ia merupakan model elektrik penuh pertama dalam kelasnya. Gran coupe empat pintu ini akan dipasarkan dalam dua varian sebagai permulaan, iaitu eDrive40 dan eDrive M50. Model M50 adalah kereta elektrik penuh pertama BMW M, dan ia membawa makna tidak lama lagi akan ada juga model elektrik lain daripada BMW M.

Dimensi i4 adalah 4,785 mm panjang, 1,852 mm lebar, 1,448 mm tinggi dan 2,856 mm untuk jarak roda. Jika dibandingkan dengan 3 Series G20, ia jarak roda kiri dan kanan hadapannya adalah lebih lebar 26 mm, sementara di belakang pula lebih lebar 13 mm. Hasil daripada kedudukan pek bateri yang rendah, pusati graviti i4 juga menjadi 53 mm lebih rendah berbanding model 3 Series tersebut.

Varian eDrive40 yang anda lihat ini adalah model pacuan roda belakang, di mana kuasanya datang daripada satu motor elektrik yang diletakkan pada gandar belakang. Ia masih lagi menggunakan asas daripada teknologi eDrive generasi kelima, dan menggunakan motor synchronous elektrik (bukan magnetik) yang disepadukan terus dengan kuasa elektronik lain serta transmisi lapan kelajuan.

Model eDrive40 juga mendapat unit kuasa 250 kW, yang menghasilkan 340 PS dan 430 Nm tork. Ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat, sebelum mencapai laju maksimum yang dihadkan pada 190 km/j. Memandangkan eDrive40 ini cuma mempunyai satu motor elektrik, pembahagian berat antara depan dan belakangnya menjadi 45.1:54.9.

Melihat kepada jarak gerak, bateri 83.9 kWh (waranti lapan tahun atau 160,000 km) padanya boleh menyediakan jarak sehingga 590 km. Ia boleh dicas dengan pengecas pantas DC 20 kW (sambungan CCS Combo 2), jadi dengan selepas hanya 10 minit mengecas, pengguna boleh bergerak sehingga 164 km.

Model ini datang dengan pengecas AC bersepadu 11 kW (sambungan Type 2) dan apabila menggunakannya, bateri akan penuh, dari kosong dalam masa tidak sampai 8.5 jam. Tahap penjanaan semula kuasa brek pula boleh menyediakan sehingga 195 kW.

Bagi memastikan suhu bateri berada pada tahap yang baik, BMW menggunakan sistem penyejukan dan pemanas bersepadu. Ia mengambil kira pelbagai faktor termasuk suhu sekitar dan sesi pengecasan pantas yang diguna. Sistem ini berjalan secara automatik dengan pam berkecekapan tinggi, dan BMW memberitahu ia dapat membantu meningkatkan kecekapan jarak gerak yang disediakan sehingga 31% apabila memandu dalam trafik bandar.

Sistem penyerap berhubung dengan angkatan (lift-related) digunakan, di mana menurut BMW, ia menyediakan kualiti serapan linear serta menghindari dongakan melebih apabila melalui bonggol yang besar. Sistem suspensi udara boleh rata sendiri diberikan standard untuk kedua-dua varian, tetapi pemilik boleh menaik taraf kepada suspensi M adaptif untuk eDrive40 (datang secara standard pada M50).

Pada aspek penampilan, i4 tidak banyak berbeza berbanding 4 Series G22 kecuali yang pasti, tambahan dua pintunya. Pelanggan juga boleh memilih tambahan lampu LED adaptif dengan BMW LaserLight dan BMW Selective Beam. Dari tepi, anda akan dapat melihat pembuka pintu yang sama rata dengan permukaan.

Di belakang, walaupun lampunya sama dengan 4 Series, ia mendapat bampar khas dengan diffuser bersepadu. Pilihan rim terdiri daripada saiz 17 inci hingga 20 inci, dan pemilik juga boleh menaik taraf kepada cakera brek M Sport bersaiz 374 mm.

Bahagian dalam juga kebanyakannya sama seperti 4 Series, dengan perubahan paling jelas adalah panel instrumen 12.3 inci dan skrin infotainmen 14.9 inci yang digabungkan sekali sebagai satu unit, dengan kaca anti pantulan cahaya. Model i4 didatangkan dengan BMW Operating System 8 secara standard, dan beberapa bahagian mendapat kemasan warna biru.

Kelengkapan standard lain adalah termasuk BMW Live Cockpit Professional, pengawal suhu automatik tiga zon dengan penapis nano, roda stereng balutan kulit, cermin hadapan akustik, lampu suasana dan enam pembesar suara 100 watt. Sistem bunyi ini juga boleh dinaik taraf kepada unit 10 pembesar suara 205 watt, atau sistem Harman Kardon 16 pembesar suara dengan amplifier tujuh saluran 464 watt.

Bagi model M Sport dan M Performance, bahagian kabinnya datang dengan kemasan hitam berkilat atau salutan aluminium rhombicle anthracite (bahan lain juga ada dalam katalog BMW Individual). Tempat duduk sport diberikan standard dan ia dibalut dengan kombinasi kain serta kulit Sensatec. Ruang but yang disediakan adalah 470 liter, dan apabila kerusi dibaringkan, ia menjadi 1,290 liter.

Memandangkan i4 adalah sebuah kereta elektrik penuh, ia dipasang dengan sistem perlindungan pejalan kaki akustik, yang boleh mengeluarkan bunyi menggunakan pembesar suara di luar. Bunyi ini aktif apabila bergerak lebih 21 km/j di Eropah atau lebih 31 km/j di Amerika Syarikat. Bunyi khas untuk bahagian dalam juga telah dibangunkan bersama Hans Zimmer dan kerancakannya boleh bertambah apabila memasuki mod Sport.

Akhir sekali, i4 datang dengan lebih 40 sistem bantuan pemandu, menjadikan ia sebagai kereta semi autonomous Level 2. Ini termasuklah Active Cruise Control dengan fungsi Stop and Go, Speed Limit Assist, Front-Collision Warning dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Rear-Collision Prevention, dan Lane Departure Warning. Pakej Driving Assistant Professional menambah Steering and Lane Control Assistant, yang boleh beroperasi sehingga kelajuan 180 km/h.