Lexus Malaysia sudahpun melancarkan dua modelnya – MPV mewah Lexus LM 350 dan kereta sport LC 500 Convertible – di pasaran Malaysia masing-masing pada April lalu dan juga November 2020. Namun ketika dilancarkan, kedua-dua model ini diberikan harga penuh tanpa potongan cukai SST kerana insentif berkenaan pada awalnya akan ditamatkan pada hujung Jun ini, manakala model-model tersebut dijangka hanya dapat dihantar kepada pelanggan pada separa kedua 2021.

Namun dengan pengumuman Perdana Menteri yang dibuat tempoh hari bahawa insentif berkenaan akan diteruskan sehingga 31 Disember, ini bermaksud Lexus LM 350 dan LC 500 Convertible perlu diberikan harga baharu yang disertakan potongan cukai SST 50% untuk model-model CBU.

Oleh itu, Lexus LM 350 kini dijual pada harga RM1,106,513, manakala Lexus LC 500 Convertible pula dijual pada harga RM1,302,815 – masing-masing RM41,487 dan RM47,185 lebih murah berbanding harga yang diumumkan ketika pelancarannya. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

Kesemua model Lexus yang dijual oleh Lexus Malaysia ini dilindungi dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan, manakala untuk LC 500 Convertible ia turut diberikan pakej servis percuma baharu selama lima tahun/100,000 km.

Tiada perubahan spesifikasi untuk kedua-dua model setakat ini. Lexus LM 350 masih ditawarkan dalam versi empat tempat duduk, dijana oleh enjin 2GR-FKS 3.5 liter V6 berkuasa 296 hp/361 nm, digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik. LC 500 pula dikuasakan oleh enjin 2UR-GSE 5.0 liter V8, menjana 470 hp/540 Nm dengan transmisi automatik 10-kelajuan, hanya memacu roda belakang.

GALERI: Lexus LM 350

GALERI: Lexus LC 500