Susulan kejadian dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang bertembung berhampiran Stesen KLCC pada 24 Mei lalu, hari ini kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan menyatakan bahawa insiden tersebut terjadi kerana pengendali tren T40 dan pusat kawalan operasi (OCC) LRT berkenaan didapati telah mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) kritikal ketika mengendalikan gerabak tersebut secara manual.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam laporan Sinar Harian, pengabaian itu telah menyebabkan tren T40 secara tidak sengaja bergerak ke arah utara sebelum bertembung dengan tren T81, dalam kejadian yang berlaku lebih dua minggu lalu itu.

“T40 mengalami masalah apabila salah satu daripada dua ‘vechical on board communication’ (VOBC) gagal berfungsi pada jam 6 petang,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa tren T40 berkenaan perlu dikosongkan dan dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk dihantar ke depoh penyelenggaraan di Lembah Subang kerana gagal berfungsi.

“Namun pada jam 8.13 malam, satu lagi VOBC tren berkenaan gagal berfungsi dan pengendali telah dikerahkan untuk mengendalikan T40 secara manual ke Stesen Dang Wangi bagi reset semua ke mod automatic train operation (ATO),” tambahnya lagi.

Dalam kejadian tersebut, seramai 47 penumpang cedera parah termasuk enam kritikal yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur, sementara 166 yang lain cedera ringan.