Minggu lalu, Jaguar Land Rover Malaysia (JLR MY) telah pun memperincikan spesifikasi untuk Land Rover Defender generasi baharu (L663) di laman sesawang mereka, menandakan model berkenaan bakal dilancarkan di sini tidak lama lagi. Dan semalam, tular pelbagai gambar menunjukkan model ikonik kelahiran semula berkenaan sedang diuji di sekitar Ara Damansara, dan kemudian kami menerima gambar teaser rasmi dari JLR MY sendiri.
Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Defender L663 ini akan tiba ke pasaran Malaysia dalam dua bentuk badan iaitu Defender 90 (tiga-pintu, jarak roda pendek) dan Defender 110 (lima-pintu, jarak roda panjang) – namun dua unit yang dilihat ‘merayau’ semalam dengan pelekat penyamaran adalah dari versi Defender 110.
Tetapi disebalik pelekat badan tersebut masih kelihatan perincian-perincian utama Defender seperti lampu hadapan dengan gegelang LED bulat, tingkap safari pada bumbung, grafik lampu LED belakang berbentuk petak dan juga tayar ganti bersaiz penuh yang digantung pada pintu tailgate belakang. Rim enam-jejari berkembar pada unit-unit berkenaan pula dilihat seiras dengan rim 19-inci untuk Defender dalam varian S.
Berdasarkan laman sesawang JLR MY, Land Rover Defender 90 dan Defender 110 pasaran Malaysia ini akan jual dalam lima varian iaitu model asas, S, SE, HSE dan juga X. Kedua-duanya juga tampil dengan pilihan enjin sama ada 2.0 liter turbo 300 PS atau 3.0 liter enam-silinder bersama sistem hibrid ringkas yang menjana 400 PS.
Kedua-dua jenis enjin ini boleh dipilih untuk kesemua varian yang ditawarkan, kecuali Defender X dan model edisi terhad First Edition yang hanya hadir dengan enjin 3.0 liter. Kesemua versi ini juga ditawarkan dengan kotak gear automatik ZF lapan-kelajuan bersama transfer case pacuan empat roda dua-kelajuan, serta sistem Terrain Respond diberikan secara standard.
Buat masa sekarang, pasaran Malaysia belum ditawarkan dengan model yang dijana oleh rangkaian kuasa plug-in hybrid dan juga enjin diesel. JLR MY juga masih belum mengumumkan sebarang harga dan bila model ini akan dilancarkan secara rasmi. Namun dengan kerangka monocoque baharu yang jauh lebih moden berbanding casis ladder frame sebelum ini, bersama pelbagai teknologi yang jauh lebih moden, boleh dijangka ia bakal dijual pada harga yang lebih mahal.
GALERI: Land Rover Defender 2020
- HyperFocal: 0