Range anxiety atau perasaan sentiasa bimbang akan bekalan kuasa sama ada boleh bertahan atau tidak sampai ke destinasi masih menjadi antara faktor mengapa orang masih tidak mahu memiliki kereta elektrik sepenuhnya (EV). Maklumlah, akses untuk mengecaj kereta berkenaan masih lagi belum semudah akses kepada stesen minyak, dan mengecaj kereta elektrik juga masih akan mengambil masa yang lama.

Jika kereta elektrik ini ‘tersadai’ di tepi jalan kerana kehabisan kuasa, satu-satunya opsyen yang boleh dibuat sekarang adalah dengan menghubungi trak tunda. Tidak seperti kereta petrol atau diesel yang berhadapan masalah sama, kita boleh menghubungi rakan atau ‘menapak’ sendiri ke stesen minyak berhampiran bagi membeli bahan api dan mengisinya ke dalam tong, atau paling bagus menggunakan jerry can yang sememangnya dibuat untuk tujuan itu.

Jadi, masalah ini telah memberi idea kepada peminat kereta elektrik tempatan, Datuk Abdul Ghaffar Ramli bagi menghasilkan satu inovasi yang digelar EV Jerry Can, iaitu satu alat yang memudahkan kereta elektrik yang kehabisan kuasa ketika dalam perjalanan ‘diselamatkan’ tanpa perlu memanggil trak tunda.

Datuk Abdul Ghaffar pernah bertugas sebagai pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI) dengan memulakan perkhidmatannya pada tahun 1979. Beliau kemudiannya dilantik sebagai ketua program teknologi nuklear pada tahun 1984.

Beliau juga pernah memegang jawatan pengarah pusat sains dan teknologi pertahanan, dan kemudian dilantik sebagai ketua pengarah di Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE) pada 2002, sehingga bersara pada tahun 2013.

Projek EV Jerry Can ini dimulakan oleh Datuk Abdul Ghaffar bermula pada Jun lalu, ketika dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh dan ia dibangunkan sepenuhnya dengan dananya sendiri. Secara asasnya, alat berkenaan adalah “power bank yang sangat besar” untuk kereta elektrik, dan prototaip berkenaan didedahkan kepada komuniti peminat kereta elektrik secara dalam talian.

EV Jerry Can tersebut dihasilkan dengan saiz lebih kurang bagasi troli pesawat. Di dalamnya terdapat sel-sel bateri 32650 LFP (lithium besi fosfat), dan ia boleh dicaj dengan pengecaj 500 W bagi memenuhkan kapasiti maksima 2.4 kWj dalam masa lima jam.

Hubungan kepada kereta elektrik pula menggunakan protokol CEE 16, yang kemudiannya dihubungkan kepada EVSE mudah alih dan sama ada penghubung Type 1 atau Type 2, bergantung kepada sistem yang digunakan pada kereta berkenaan. Datuk Abdul Ghaffar sendiri memiliki Renault Zoe EV yang menggunakan penghubung jenis Type 2.

Walaupun pek bateri berkenaan mempunyai kadar 2.4 kWj, menurut Datuk Abdul Ghaffar beliau tidak dapat mengecas secara maksimum kerana terdapat sel yang bermasalah. Namun penilaian awal menunjukkan penukaran dari AC ke DC berkesan sebanyak 82%, atau sekitar 2 kWj. Dengan kadar penggunaan tenaga Zoe adalah 140 Wj setiap km, jumlah 2 kWj dalam Jerry Can tersebut sepatutnya membolehkan kereta tersebut bergerak sekitar 14 hingga 15 km.

Jarak 14 hingga 15 km berkenaan sudah tentu memang tidak banyak, tetapi ia mungkin cukup untuk bergerak ke punca kuasa yang lebih besar di lokasi berdekatan. Selepas ini, Datuk Abdul Ghaffar bakal menghasilkan satu pek bateri baharu yang akan menggunakan 16 sel bateri prismatik (berbanding 128 sel bateri silinder 32650 pada unit sedia ada) dengan berat 35.4 kg.

Pek bateri kedua tersebut tidak mempunyai inverternya sendiri, tetapi akan digandingkan pek bateri sedia ada. Beliau mensasarkan pek bateri kedua berkenaan untuk mencapai kapasiti 2.5 kWj serta memberikan penjimatan berat sebanyak 28 kg, berbanding sasaran kapasiti 2 atau 5 kWj sebelum ini yang mungkin memberikan berat keseluruhan 37 kg.

Secara teorinya, ia bakal memberikan kapasiti bateri keseluruhan 4.9 kWj dan secara tidak langsung akan menggandakan jarak 14 hingga 15 km sedia ada kepada sekitar 30 km dengan pek bateri kedua ini. Walau bagaimanapun, keseluruhan kuasa tersebut tidak boleh digunakan sekaligus, tetapi perlu secara berturutan.

Menurut Datuk Abdul Ghaffar, ini adalah untuk tujuan keselamatan kerana jumlah voltan dalam kedua-dua pek bateri berkenaan mungkin berbeza.

Setakat ini pembangunan pek bateri EV Jerry Can ini telah pun menelan belanja sebanyak RM3,500. Namun adakah Datuk Abdul Ghaffar bercadang untuk menjualnya dalam pasaran? “Saya tak berniat untuk mengkomersilkannya, namun saya ada berbincang dengan beberapa syarikat untuk melihat adakah mereka berminat,” katanya

Beliau turut mempertimbangkan untuk menyewakan EV Jerry Can ini kepada syarikat-syarikat yang menjalankan perkhidmatan pembaikan tepi jalan. “Ia mungkin lebih murah dari menunda,” katanya.