Sekolah memandu dibenarkan beroperasi semula bermula 9 September ini, dengan SOP ketat – menteri

Sekolah memandu dibenarkan beroperasi semula bermula 9 September ini, dengan SOP ketat – menteri

Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan bahawa institut latihan memandu bakal dibenarkan semula untuk beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 9 September ini. Perkara ini dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong sebentar tadi.

Walau bagaimanapun, pengoperasian semula sekolah memandu ini turut perlu mengimplementasikan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan. Antaranya, semua urusan perlu dibuat secara janji temu serta tenaga pengajar dan calon telah lengkap menerima vaksin dengan mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 dan kad pengenalan sebagai pembuktian.

MOT juga menyatakan bahawa syarikat hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja berdasarkan peratusan (%) pekerja yang telah lengkap menerima vaksin.

“Sekiranya kadar peratusan pekerja yang lengkap menerima vaksin adalah 40%, maka kapasiti pekerja yang dibenarkan beroperasi adalah sebanyak 60%. Jika 60% lengkap menerima vaksin, 80% pekerja dibenar beroperasi. Syarikat dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100% sekiranya 80% pekerja lengkap menerima vaksin,” tulis kenyataan yang dikeluarkan.

Kehadiran mana-mana kakitangan atau calon yang bergejala, sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ‘Person Under Surveillance’ (PUS) dan sedang dalam Perintah Kuarantin juga tidak dibenarkan.

Selain itu, protokol kesihatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelaksanaan norma baharu seperti pemeriksaan suhu badan, mengimbas MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup separuh muka dan penyediaan ‘hand sanitizer’ juga perlu dipatuhi.

MOT turut menjelaskan bahawa proses pengujian bagi mendapatkan lesen-lesen memandu berkaitan hanya akan bermula pada 17 September 2021. Tempoh masa ini diperuntukkan kepada pihak institut memandu dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bersedia sepenuhnya bagi mengelakkan isu-isu berbangkit yang boleh memberi kesan negatif kepada calon.

Kementerian tersebut turut mengingatkan bahawa sebarang ketidakpatuhan SOP yang ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dalam perkembangan berkaitan, MOT juga memutuskan untuk memberi moratorium selama tiga bulan iaitu sehingga 30 November 2021 bagi keperluan pembaharuan permit Institut bagi mana-mana yang tempoh sah laku permitnya telah tamat di antara bulan Januari hingga September 2021.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required