Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) yang menampilkan sistem seperti brek kecemasan automatik, pemantau titik buta dan sebagainya kini dilihat sebagai sistem biasa pada kenderaan moden kerana model mampu milik seperti Perodua Myvi pun kini sudah ditawarkan dengan sistem sedemikian.

Namun sistem berkenaan masih lagi belum diimplemetasikan pada dua model segmen-B Proton yang baru sahaja menerima kemaskini terbaharu iaitu Iriz dan Persona untuk versi facelift 2022, dilancarkan pada bulan lalu. Idea untuk menampilkan sistem berkenaan bukan idea baharu, malah Proton dilihat membuat langkah yang lebih awal dari Perodua apabila dilihat menguji prototaip Iriz yang dibekalkan dengan sistem ADAS dari LG pada 2014.

Jadi, kami ajukan persoalan ini kepada eksekutif program kenderaan Proton, Adzrai Aziz Ibrahim dalam satu temu ramah minggu lalu. Menurutnya, dengan bajet yang terhad diperuntukan bagi menyegarkan kembali model yang telah agak berusia dalam pasaran, pasukannya perlu mengutamakan fungsi-fungsi yang lebih dihargai oleh pengguna.

“Kami buat perbandingan, model-model OEM Jepun sudahpun menampilkan ADAS spesifikasi tinggi, malah satu lagi pesaing [Perodua] juga sudah ada fungsi ADAS dalam pasaran. Tetapi kami mempunyai kekangan – kami tidak mahu menaikkan kos kereta ini supaya kami boleh kekalkan harga jualannya dan memberikan lebih nilai kepada pelanggan; kami perlu berhati-hati berkenaan apa yang kami mahu tambah pada kereta,” katanya.

Prototaip Iriz yang diuji dengan sistem ADAS dari LG pada 2014

Namun menurut Adzrai lagi ini bukan bermakna mereka tidak menitik beratkan hal keselamatan dalam pembangunan Iriz dan Persona facelift 2022, sebaliknya aspek tersebut ditumpukan kepada untuk meningkat taraf sistem prlindungan ketika kemalangan serta membolehkan kedua-dua model berkenaan mengekalkan penarafan lima-bintang yang diterima menerusi ujian ASEAN NCAP protokol 2017-2020.

“Pertama sekali, kami perlu tengok adakah kami boleh memenuhi piawaian terkini protokol ASEAN NCAP. Jadi kami tambah beg udara sisi untuk semua varian, pengingat pemakaian tali pinggang keledar, dan ini membolehkan kami mencapai standard terkini – perlindungan yang kami tawarkan dari segi keselamatan penumpang ketika kemalangan adalah baik. Kami tidak perlukan fungsi [ADAS] tambahan bagi [mendapatkan penarafan lima-bintang].

“Jadi [selepas itu] kami perlu membuat keputusan, adakah kami mahu berikan [ADAS] atau kami berikan perincian lain yang pelanggan akan benar-benar gunakan? Kami seimbangkan pelaburan yang kami buat – kami sudah menapai piawaian [protokol] ASEAN NCAP 2020, jadi kami perlu belanjakan wang kami terhadap fungsi lain yang lebih berguna kepada pelanggan,” jelas Adzrai.

Untuk lebih menghuraikan kos-kos yang perlu ditambah bagi memberikan fungsi ADAS, Adzrai terlebih dahulu menerangkan perbezaan antara sistem ringkas menggunakan kamera (yang memberikan amaran pelanggaran hadapan dan juga AEB kelajuan rendah) dan juga sistem lebih maju menggunakan radar yang turut membolehkan sistem cruise control adaptif berfungsi.

Namun kami juga perlu jelaskan bahawa sistem yang menggunakan kamera pada Perodua Ativa (begitu juga pada Honda City dan Civic baharu) turut boleh memberikan sistem cruise control adaptif, jadi tidak semestinya ia memerlukan radar.

“Ada dua cara [bagi mengimplementasikan ADAS]. Kita ada ADAS penuh, yang digunakan oleh Toyota dan Honda pada kereta-kereta mereka, dan ada juga ADAS kelas-pertengahan, yang hanya memberikan anda petunjuk dan amaran buzzer menggunakan kamera [bagi mengesan halangan] dan [menawarkan] fungsi yang terhad.

“Saya tak boleh kongsi bersama anda jumlah [keseluruhan] kos untuk ini, namun ADAS penuh sudah tentu memerlukan jumlah melebihi RM2,000 dalam aspek [kos] komponen yang perlu ditambah pada kereta. Ia juga memerlukan tingkat taraf terhadap seni bina sistem elektrikal dan elektronik, kerana [sistem] berkenaan perlu berkomunikasi [dengan kereta]. Jadi ini merupakan pelaburan yang besar.

“Untuk [ADAS peringkat-pertengahan] menggunakan kamera dan amaran, ia boleh dilakukan, seperti apa yang dibuat oleh Perodua. Tetapi buat masa ini, kami masih dalam fasa penyelidikan. Kami sedang cuba untuk menentukan apa solusi terbaik untuk segmen ini, dengan harga yang ingin kami jual dan kos-kos tambahan yang perlu tambah pada kereta kami. Jika kami rasa fungsi-fungsi ini adalah perlu pada masa hadapan, kami akan perkenalkannya,” kata Adzrai.

Adzrai turut menjelaskan bahawa sistem arahan suara “Hi Proton” pada Iriz Active dan Persona Premium yang kini turut memberikan fungsi lebih dari sekadar skrin infotainmen seperti operasi tingkap cermin pemandu dan juga kawalan sistem pendingin hawa juga turut memerlukan tingkat taraf seni bina elektrikal dan juga perisian baharu, namun ia tidak memerlukan rombakan komprehensif mahupun kos yang tinggi.

“Perkara seperti arahan suara adalah bersifat bebas; ia tidak memerlukan pembangunan semula terhadap keseluruhan kereta, kerana ia hanya beroperasi pada unitnya sahaja, jadi kos untuk [tingkat taraf] tidak tinggi.

“Kami boleh mengembangkan fungsinya kepada tingkap [pemandu] dan pendingin hawa kerana kemampuan untuk memberi isyarat kepada [komponen-komponen] tersebut telah tersedia dalam unit. Jadi kami boleh aplikasikannya tanpa membabitkan banyak pelaburan dan kami boleh hanya memintas [sistem] berkenaan sewajarnya,” jelas Adzrai.

Kemudian apabila ditanya adakah Proton akan sekurang-kurangnya memadankan sistem pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang, Adzrai menjawab, “Dari segi perancangan, memang kita ada. Memang kami sedang lihat tentang dua fungsi ini, dan apabila sistem ini sudah lebih kos efektif untuk dipadankan pada kereta kami, kami akan implementasikannya. Mungkin ia akan ditambah pada kemaskini akan datang; namun apa yang pasti, kami akan padankannya pada model-model baharu. Tetapi ya, kami memang kami sedang lihat – terutamanya dua fungsi ini – adakah kami boleh padankannya dalam cara yang paling kos efektif.”

Setuju atau tidak, Proton memang mempunyai kekangan terutamanya dari segi kewangan bagi memadankan sistem ADAS ini pada model segmen-B mereka, terutamanya pada Iriz yang dijual dalam jumlah berganda lebih rendah dari Perodua Myvi.

Malah Iriz dan Persona adalah model yang dibangunkan sendiri oleh Proton di Malaysia, oleh itu sistem ADAS berkenaan perlu juga perlu dibangunkan sendiri oleh mereka dan tidak boleh ‘dikahwinkan’ dengan sistem binaan Geely, berbanding Perodua yang menggunakan asas sistem yang sama dengan Daihatsu, membolehkan mereka mengambil dan memadankan terus sistem yang sudah dibangunkan oleh sekutunya dari Jepun itu tanpa melibatkan kos R&D yang tinggi.

Walau apa pun alasannya, model-model segmen-B Proton ini memang jelas ketinggalan dari segi keselamatan kerana sistem Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang telahpun ditawarkan kepada Perodua Myvi dalam varian rendah 1.3X yang berharga tak sampai RM47,000 benar-benar menjalankan tugasnya bagi mengelakkan kemalangan.

Malah langkah Proton yang tergesa-gesa melakukan ujian kemaskini ASEAN NCAP sebelum protokol ujian 2017-2020 ditutup lapan bulan sebelum Iriz dan Persona 2022 ini dilancarkan memperlihatkan mereka ketinggalan dari aspek ini – ia mungkin tidak mencapai penarafan lima-bintang untuk protokol 2021-2025 kerana ujian berkenaan lebih menekankan aspek sistem keselamatan aktif.

Ironinya, Perodua Ativa yang ditawarkan dengan sistem AEB secara standard untuk setiap varian merupakan model pertama yang menerima penarafan lima-bintang dalam ujian ASEAN NCAP protokol 2021-2025 tersebut. Apa pula pendapat anda? Patutkah Proton menawarkan sistem ADAS ini walaupun terpaksa menaikkan harganya, atau bersetuju apa yang mereka hasilkan terhadap model facelift Iriz dan Persona 2022 berkenaan?

GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022

Proton Persona 1.6L Premium 2022