Mercedes-AMG E63 S 4Matic+ facelift 2021 kini di M’sia – RM1.12 juta, kelajuan maksima 300 km/j, 612 PS!

Mercedes-AMG E63 S 4Matic+ <em>facelift</em> 2021 kini di M’sia – RM1.12 juta, kelajuan maksima 300 km/j, 612 PS!

Selepas model E-Class W213 facelift tiba di pasaran tempatan Julai lalu, hari ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) secara rasminya melancarkan pula versi prestasi tinggi Mercedes-AMG E63 S 4Matic+ facelift 2021. Ia ditawarkan dalam versi yang diimport sepenuhnya (CBU) dengan harga atas jalan tanpa insuran RM1,118,888.

Harga yang dinyatakan ini termasuk cukai jualan penuh 10%, menandakan bahawa pelanggan yang menempahnya hanya akan menerima kereta mereka pada tahun hadapan, dan tidak akan menerima pengecualian cukai jualan sebanyak 50% dari 10% berkenaan di bawah skim Pemerkasa yang berakhir 31 Disember ini. Setiap pembelian turut akan menerima waranti selama empat tahun tanpa had perbatuan.

Sedan E 63 S ini masih dijana oleh enjin M178 4.0 liter V8 dengan dua pengecas turbo sama seperti model sebelum ini, menjana 612 PS (603 hp) pada takat 5,750 hingga 6,500 rpm dan juga tork maksima 850 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 300 km/j.

Mercedes-AMG E63 S 4Matic+ <em>facelift</em> 2021 kini di M’sia – RM1.12 juta, kelajuan maksima 300 km/j, 612 PS!

Enjin berkenaan turut menampilkan teknologi nyah aktif silinder bagi membolehkan ia berfungsi dengan hanya empat silinder bergantung kepada situasi bagi meningkatkan kadar efisien, dan juga cagak enjin dinamik. Kuasa dari enjin disalur kepada semua roda dengan kadar tork bervariasi menerusi kotak gear automatik AMG Speedshift MCT 9G sembilan kelajuan dan sistem variable AWD AMG Performace 4Matic+.

Sistem tersebut juga menampilkan LSD kawalan elektronik pada gandar belakang, membolehkan pemandu melakukan aksi menggelangsar dengan mudah menerusi “drift mode” yang dapat diaktifkan menerusi mod Race, menjadikan ia sebuah jentera pacuan belakang sepenuhnya tanpa bantuan ESP.

Pengendalian Mercedes-AMG E 63 ini turut dibantu oleh suspensi AMG Ride Control+ dengan suspensi udara pelbagai kebuk, penyerap hentak adaptif ADS+ dan juga stereng sensitif-kelajuan. Kesemua kelengkapan tersebut berfungsi dengan sistem AMG Dynamic Select yang menawarkan enam mod pemanduan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Race. Manakala dengan sistem AMG Dynamic, ia akan memberikan lebih kebebasan tetapan dengan talaan semula pada sistem ESP dengan empat tahap iaitu Basic, Advanced, Pro dan Master.

Mercedes-AMG E63 S 4Matic+ <em>facelift</em> 2021 kini di M’sia – RM1.12 juta, kelajuan maksima 300 km/j, 612 PS!

Dengan kuasa yang cukup besar, E 63 S juga menerima sistem brek dengan cakera 390 mm bersama angkup enam omboh di hadapan, serta cakera 360 mm dan angkup omboh tunggal di belakang secara standard, dengan kesemua angkup menerima kemasan berwarna merah.

Dari segi penggayaan, sudah semestinya versi AMG yang disegarkan semula ini menerima muka kemaskini yang sama seperti E-Class facelift biasa, menampilkan lampu hadapan yang lebih tirus. Ia diserasikan dengan gril Panamericana, dan juga bampar “jet wing” yang direka semula bagi disesuaikan dengan lampu berkenaan. Ia turut menerima lampu belakang baharu dengan rekaan lebih nipis, dan seperti biasa versi AMG paling berkuasa berkenaan diberikan bampar dengan perumah empat tip ekzos berbentuk segi empat.

Bagi menandakan ini sebuah AMG asli, ia bukan sahaja menampilkan lencana-lencana istimewa, malah E 63 S ini turut diberikan fender yang lebih lebar. Untuk model pasaran Malaysia ini, ia turut dibekalkan dengan Night Package secara standard, menampilkan kemasan-kemasan hitam berkilat pada bahagian luaran termasuk penutup cermin sisi, kerangka tingkap, perincian-perincian kecil pada bampar, serta diberikan tip ekzos dalam kemasan krom hitam dan gril lebih gelap.

Mercedes-AMG E63 S 4Matic+ <em>facelift</em> 2021 kini di M’sia – RM1.12 juta, kelajuan maksima 300 km/j, 612 PS!

Ia juga hadir standard dengan AMG Exterior Carbon-Fibre Package I dan II, menampilkan splitter hadapan, perapi fender, jalur kemasan (dengan warna hitam berkilat Silver Shadow) pada apron belakang yang kesemuanya diperbuat dari material gentian karbon. 11 warna badan berbeza ditawarkan kepada pembeli E 63 S ini. Dan bagi melengkapkan rupanya, ia dipadankan dengan rim aloi ringan 20-inci 5-jejari berkembar AMG.

Juga sama seperti W213 biasa, bahagian dalaman model AMG ini juga menerima sistem infotainmen yang disertakan dengan sistem A.I Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Sistem tersebut menampilkan dua skrin 12.25-inci yang membentuk widescreen cockpit, bertindak sebagai sebagai skrin sesentuh bagi sistem infotainmen serta paparan instrumen digital.

Untuk paparan instrumen digital pada sistem tersebut pula, ia turut hadir dengan paparan AMG yang menampilkan sistem AMG Track Pace. Perincian lain yang turut disertakan termasuk karpet lantai dan kemasan bendul bernyala AMG, serta roda stereng dan juga tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori AMG Performance, kedua-duanya dibalut dengan kulit Nappa dan gentian mikro Dinamica.

Model ini juga datang standard dengan lampu hadapan Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, sistem ekzos AMG Performance dengan bunyi yang boleh dipilih, bumbung panaromik, papan pemuka kulit Nappa, sistem lampu suasana kabin, pendingin hawa tiga zon Thermotronic, LTE bina dalam untuk servis terhubung Mercedes me, sistem bunyi Burmester, paparan head up, serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay bersama pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Bagi sistem keselamatan pula, sedan prestasi tinggi ini diberikan kamera 360-darjah, Bantuan Parkir Aktif dengan Parktronic, pakej Driving Assistanc (termasuk AEB), cruise control adaptif, Bantuan Stereng Aktif, akses tanpa sentuhan, Keyless-Go, Pre-Safe dan sistem pemantau tekanan angin tayar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required