Volvo Cars Malaysia (VCM) hari ini melancarkan program jaminan baharu yang dikenali sebagai ‘Jaminan Alat Ganti Kereta Sepanjang Hayat untuk Pelanggan’ (Customer Lifetime Parts Warranty). Jangan salah faham kerana program ini bukan untuk komponen sedia ada pada kereta baharu Volvo anda, tetapi diberikan untuk alat ganti yang dibeli secara rasmi menerusi pengedar sah VCM.

Menurut VCM, program ini dilancarkan bagi “memberi ketenangan fikiran kepada semua pelanggan Volvo sepanjang pemilikan kenderaan mereka”. Menerusi program ini, pelanggan yang telah membeli dan memasang alat ganti tulen Volvo melalui wakil pengedar sah Volvo mulai 1 Oktober 2021 akan layak untuk menerima jaminan berkenaan.

VCM turut menjelaskan bahawa sekiranya alat ganti tulen yang dibeli berkenaan perlu ditukar kerana kerosakan yang diakibatkan dari material mahupun proses pembuatan, penggantian dan kerja baik pulih berkenaan akan dibuat secara percuma.

Bagi model-model lama Volvo yang sudah tidak lagi diselenggara oleh wakil pengedar sah Volvo lebih dari dua tahun, kereta tersebut perlu terlebih dahulu menjalani Pemeriksaan Kenderaan Volvo (Volvo Health Check) bagi membolehkan pelanggan layak untuk mengambil bahagian dalam program jaminan berkenaan sambil memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan tidak diubah suai dengan apa cara sekalipun.

VCM turut menambah selepas kereta berkenaan dipastikan layak, pelanggan boleh membeli alat ganti di bawah program jaminan ini dan diminta untuk menghantar kereta ke mana-mana pengedar sah Volvo untuk perkhidmatan servis di masa hadapan bagi memastikan jaminan tersebut sah digunakan.

Walau bagaimanapun, program Jaminan Alat Ganti Kereta Sepanjang Hayat untuk Pelanggan ini tidak menyenaraikan komponen yang diklasifikasikan alat ganti haus dan lusuh seperti yang dinyatakan dalam manual jaminan (contohnya pad brek dan sebagainya). Pelanggan diminta untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Volvo untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai skop keseluruhan bahagian yang dilindungi.

“Penawaran baru ini adalah sebahagian dari komitmen kami untuk memberikan perkhidmatan selepas jualan terbaik kepada pelanggan. Kepuasan pelanggan sentiasa menjadi aspek penting bagi Volvo, dan melalui program jaminan ini, pelanggan kami kini dapat menikmati faedah kos penyelenggaraan yang lebih rendah dan merasai kualiti yang ditawarkan oleh Volvo, pada tahun-tahun akan datang,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

Bagi model baharu Volvo, Februari lalu VCM telah pun mengumunkan bahawa mereka kini sudahpun mengimplementasikan program waranti pengeluar lima-tahun tanpa had perbatuan untuk semua model (milik individu) yang didaftarkan bermula 1 Januari 2021.