Walaupun kerajaan Malaysia sudahpun memberikan kebenaran merentas negeri bermula 11 Oktober lalu, ia tidak tertakluk kepada Sabah. Namun hari ini kerajaan negeri berkenaan bersetuju untuk memberikan kebenaran merentas daerah bermula esok, manakala pergerakan merentas negeri pula akan bermula pada 1 November nanti.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, kemasukan ke Sabah meliputi lawatan sosial dan pelancongan adalah dibenarkan juga dengan beberapa syarat.

“Individu haruslah telah lengkap divaksin dan perlu menjalani ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-Ag dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri hari ini juga membenarkan aktiviti rentas daerah seluruh Sabah tanpa mengikut zon yang akan berkuat kuasa esok, manakala syarat untuk golongan remaja dan kanak-kanak merentas negeri juga sama seperti syarat yang dikenakan untuk rentas daerah.

Hajiji menyatakan bahawa pihaknya berpuas hati dengan laporan peratus vaksinasi lengkap negeri setakat hari ini yang telah dikeluarkan Jawatankuasa COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) telah mencapai melebihi 70 peratus.

“Selaras dengan itu, kerajaan negeri pada hari ini bersetuju supaya rentas daerah dibenarkan di seluruh negeri mulai 14 Oktober (esok) dengan beberapa syarat.

“Antara syarat ialah individu terbabit telah lengkap divaksin. Bagi remaja berumur 12 sehingga 18 tahun pula mestilah yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun harus ditemani oleh ibu bapa yang telah lengkap divaksin,” katanya dalam kenyataan tersebut