Mercedes-Maybach GLS600 4Matic dilancar di M’sia – RM1.8 juta, V8 4.0 liter Twin Turbo, 558 PS/730 Nm!

Mercedes-Maybach GLS600 4Matic dilancar di M’sia – RM1.8 juta, V8 4.0 liter Twin Turbo, 558 PS/730 Nm!

Selain dari Mercedes-Maybach Z223 S580, hari ini Mercedes-Benz Malaysia turut melancarkan ‘saudara’ kepada sedan ultra-mewah berkenaan iaitu SUV Mercedes-Maybach GLS600 4Matic untuk pasaran tempatan. Jadi sekiranya anda mahukan sebuah SUV yang lebih mewah berbanding Mercedes-Benz GLS450 4Matic X167 yang sudah pun dilancarkan dipasaran tempatan pada 2020, Maybach GLS600 ini adalah jawapannya.

Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM1,789,453, lengkap dengan insentif potongan cukai jualan 5% untuk model CBU sehingga hujung Jun 2022. Ia turut diberikan waranti pengeluar selama empat tahun tanpa had perbatuan. Jadi berbanding GLS450 yang dijual pada harga tak sampai RM900,000, anda perlu membayar harga lebih sekali ganda untuk Maybach GLS600 ini!

Tidak seperti Maybach S-Class yang hadir dengan badan lebih panjang dari S-Class standard, Maybach GLS ini menampilkan saiz yang sama seperti GLS biasa. Ia hadir dengan ukuran 5,207 mm panjang, 1,956 mm lebar, 1,850 mm tinggi serta jarak roda sejauh 3,135 mm.

Seperti lazimnya model-model Maybach, ia tampil dengan rupa luaran yang lebih mewah dari model Mercedes-Benz yang diasaskan. Gril bar melintang biasa pada Mercedes GLS digantikan dengan gril krom Maybach yang menampilkan jejari menegak.

Mercedes-Maybach GLS600 4Matic dilancar di M’sia – RM1.8 juta, V8 4.0 liter Twin Turbo, 558 PS/730 Nm!

Ia juga diberikan kemasan-kemasan krom yang cukup banyak, boleh dilihat pada kemasan bampar dan skid plate hadapan, sekeliling cermin tingkat sisi, tiang-B, sepanjang bahagian atas lampu belakang dan merentangi pintu tailgate belakang, perumah reflektor belakang dan kemasan diffuser bawah bampar belakang.

Tiang-C SUV ini diberikan logo Maybach, manakala bawah pintu diberikan pemijak sisi besar yang boleh dilipat juga dengan logo Maybach. Melengkapkan penampilannya adalah rim aloi forged gergasi 23-inci pelbagai jejari dalam kemasan digilap.

Walaupun dimensinya sama, Maybach GLS ini hanya menampilkan empat tempat duduk bagi memberikan ruang yang selesa untuk setiap penumpang, berbanding GLS normal yang diberikan konfigurasi tujuh-tempat duduk. Ini membolehkan penumpang di tempat duduk baris kedua mendapat ruang kaki lebih besar dengan kerusi yang ditolak 120 mm ke belakang. Sekiranya tempat duduk penumpang hadapan berada pada posisi “chauffeur”, penumpang kabin belakang mempunyai ruang kaki sepanjang 1.34 meter.

Mercedes-Maybach GLS600 4Matic dilancar di M’sia – RM1.8 juta, V8 4.0 liter Twin Turbo, 558 PS/730 Nm!

Tempat duduk kabin belakang Maybach GLS ini juga boleh dicondongkan ke belakang pada sudut 43.5 darjah, serta datang dengan fungsi larasan ottoman dan memori, pemanas, penyejuk dan juga pengurut. Posisi duduk untuk tempat duduk belakang ini dianjak 30 mm ke dalam bagi memberikan ruang siku yang lebih luas. Perehat kepala larasan elektrik juga, tetapi ia tidak diberikan “bantal” seperti pada Maybach S-Class.

Ia juga menerima konsol tengah saiz penuh pada tempat duduk belakang sebagai sebahagian pakej kabin First Class sama seperti Maybach S-Class, menempatkan dua meja yang boleh disorokkan, liang pendingin hawa, kawalan pendingin hawa dan juga peti sejuk untuk menyimpan minuman.

Kedua-dua penumpang belakang juga menerima skrin 11.6-inci masing-masing yang diletakkan di belakang tempat duduk hadapan untuk digunakan bagi menonton filem, serta tablet Android bersaiz tujuh-inci untuk kawalan terhadap pelbagai fungsi lain dalam kabin.

Kabin SUV mewah ini datang pakej kulit designo, yang menampilkan upholsteri kulit Nappa (termasuk pada papan pemuka dan panel dalaman pintu) serta kemasan designo piano black berjalur.

Perincian lain pada kabin Maybach GLS ini dilihat hampir sama seperti GLS biasa, datang dengan kelengkapan seperti Widescreen Cockpit menampilkan dua skrin paparan 12.3-inch (termasuk skrin sesentuh pada bahagian tengah). Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) juga diberikan, yang datang bersama MBUX Interior Assistant yang membolehkan beberapa fungsi pada kabin hadapan seperti lampu kabin dioperasikan hanya menggunakan gestur.

SUV ini menerima sistem bunyi surround Burmester 590-watt dengan 13-pembesar suara, yang datang bersama sistem interkom dua hala antara kabin hadapan dan belakang, dan juga dua fon kepala tanpa wayar. Ia juga diberikan sistem pendingin hawa empat hala yang dipertingkat dengan penderia kualiti udara, penderia kelembapan pada cermin hadapan, motor kipas yang dibangunkan khas bagi meminima bunyi, serta liang penghembus yang disalut bagi merendahkan lagi bunyi hembusan udara.

Kelengkapan standard lain yang diberikan termasuk lampu hadapan LED Multibeam, pemegang cawan dengan penyejuk, bumbung suria panaromik, pelindung cahaya kuasa elektrik pada cermin tingkap sisi, sistem kamera 360-darjah, pintu tutup-lembut dan pintu tailgate berkuasa dengan operasi tanpa sentuhan. Ia juga diberikan tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan memori, bersama fungsi pemanas, aliran udara dan pengurut.

Mercedes-Maybach GLS600 4Matic dilancar di M’sia – RM1.8 juta, V8 4.0 liter Twin Turbo, 558 PS/730 Nm!

Untuk sistem keselamatan pula, Maybach GLS ini tampil dengan pakej bantuan pemanduan Driving Assistance Plus, tampil dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, serta bantuan kekal tengah lorong bagi melengkapkan sistem pemanduan autonomi Tahap 2.

Ia juga dibekalkan dengan sembilan-beg udara termasuk pada bahagian lutut pemandu serta sisi untuk penumpang belakang. Sistem Pre-Safe dan Pre-Safe Impulse Side juga dilengkapkan bagi yang memberikan perlindungan sisi lebih baik jika berlaku rempuhan pada bahagian tersebut.

Mercedes-Maybach GLS 600 ini diberikan enjin yang sama seperti Maybach S580, iaitu unit M176 V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo dihasilkan oleh AMG. Namun ia menerima talaan lebih berkuasa iait 558 PS bermula 6,000 hingga 6,500 rpm serta tork maksima 730 Nm antara 2,500 hingga 5,000 rpm. Sistem hibrid ringkas EQ Boost 48-volt turut digandingkan, bagi memberikan tambahan kuasa 22 PS dan tork 250 Nm.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic bersama sistem pacuan semua roda 4Matic, yang boleh memacu semua roda dan mampu menghantar tork 100% pada gandar hadapan atau gandar belakang. Gandingan sistem mekanikal ini membolehkan SUV ‘gedabak’ dengan berat 2,785 kg ini memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat!

Unit rangkaian kuasa ini juga diberikan sistem penyahaktif silinder dan pemulihan tenaga kinetik untuk sistem hibrid, bagi membolehkan ia mencapai penggunaan bahan api 11.7 hingga 12 liter untuk setiap 100 km.

Sistem suspensi udara Airmatic dipadankan secara standard pada Maybach GLS ini, yang berfungsi bersama sistem penstabilan olengan E-Active Body Control 48-volt. Sistem tersebut menampilkan penggunaan kamera stereo untuk mengesan keadaan permukaan jalan bagi memberikan tetapi suspensi yang sesuai.

Tidak cukup dengan itu, ia juga tampil dengan mod pemanduan istimewa Maybach yang menala suspensi bagi memberikan pergerakan badan paling minima, menggunakan nod getaran bagi menyisihkan amplitud yang tidak diperlukan dalam pemanduan. Mod ini juga akan meratakan lengkok pecutan, mengurangkan tukaran gear, menggunakan gear dua untuk mula bergerak dan menutup fungsi start/stop automatik enjin, bagi memberikan pergerakan paling selesa dan senyap.

GALERI: Gambar rasmi Mercedes-Maybach GLS600 4Matic

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required