Selepas dilancarkan pada November tahun lalu, Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) kini sudahpun menyerahkan 13 unit pertama Hyundai Kona Electric kepada pelanggan di Malaysia. Penyerahan bersejarah ini dibuat di bilik pameran Hyundai di Ara Damansara, menyaksikan Kona Electric dalam semua varian – Lite, PLus dan Max – serta pelbagai warna badan telah diterima oleh pelanggan-pelanggan awal yang menempah SUV kuasa elektrik sepenuhnya (EV) itu.

Menurut HSDM, kumpulan pertama Kona Electric yang berjumlah lebih 100 unit telah pun habis dijual dalam masa yang singkat sejurus model ini dilancarkan. Ia dijual pada harga bermula RM149,888 untuk varian asas Lite dengan bateri 39.2 kWj, RM169,888 untuk varian Plus dengan bateri yang sama tetapi diberikan kelengkapan lebih tinggi. Model dengan bateri berkapasiti paling besar 64 kWj iaitu varian Max pula dijual pada harga RM199,888.

Bagi model Lite dan Plus, bateri berkenaan membolehkan ia bergerak sejauh 305 km untuk satu cas penuh. Ia dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 136 PS/393 Nm, bagi memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat serta mampu mencapai kelajuan maksima 155 km/j.

Manakala untuk varian Max, bateri 64 kWj tersebut membolehkan SUV berkenaan bergerak sejauh 484 km dengan sekali cas. Dipadankan dengan motor 204 PS/395 Nm yang lebih berkuasa, varian tertinggi ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 167 km/j.

“Segmen EV yang semakin berkembang terus mempunyai potensi yang luas di Malaysia dalam masa yang sama kami berusaha ke arah penyahkarbonan dalam industri automotif. Kami terus fokus untuk menyokong penggunaan EV, seterusnya menyumbang kepada Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon kerajaan. Oleh itu, kami gembira melihat maklum balas yang sangat positif daripada pelanggan terhadap Hyundai Kona Electric, jelas menunjukkan minat yang semakin tinggi terhadap kenderaan EV di kalangan rakyat Malaysia,” kata Jeffrey Gan, pengarah urusan peruncitan dan pengedaran Sime Darby Motors Malaysia.

“Kona Electric dan Ioniq 5 telah merekodkan maklum balas yang menakjubkan. Ini sememangnya mencerminkan penerimaan pasaran yang semakin meningkat oleh pelanggan dan pengiktirafan terhadap manfaat besar EV. Kami berbesar hati untuk menyerahkan kumpulan pertama Kona Electric kepada pelanggan, dan memandangkan kadar pengambilan yang kukuh dengan tempahan masuk dengan pantas, kami menggalakkan pelanggan membuat pesanan mereka secepat mungkin!” kata Low Yuan Lung, pengarah urusan HSDM.

Pemilik-pemilik Kona Electric kumpulan pertama ini akan menerima kad ChargEV secara percuma, yang memberikan akses kepada lebih 300 stesen pengecas di seluruh negara. Menurut HSDM, mereka mempunyai sekumpulan juruteknik untuk EV, yang telah diberikan latihan servis dan penyelenggaraan berkelas dunia oleh Hyundai. Kemahiran juruteknik-juruteknik ini ditambah lagi dengan latihan tambahan yang diberikan oleh Kolej Automotif TOC.

Berminat dengan Kona Electric ini? Anda boleh melihat dengan lebih dekat dan memandu uji model berkuasa elektrik sepenuhnya brkenaan di bilik pameran Hyundai di Ara Damansara, Jalan Klang Lama dan juga di Citystore Pulau Pinang.

Hyundai Kona Electric Lite 39.2 kW

Hyundai Kona Electric Plus 39.2 kW

Hyundai Kona Electric Plus 39.2 kW