Polis Bentong panggil pemandu Toyota Hilux yang memotong di garisan berkembar untuk beri keterangan

Polis Bentong panggil pemandu Toyota Hilux yang memotong di garisan berkembar untuk beri keterangan

Susulan video tular yang memaparkan seorang pemandu terpaksa memberhentikan kenderaannya secara mendadak bagi mengelakkannya bertembung dengan sebuah Toyota Hilux yang sedang memotong lori di laluan garisan berkembar semalam, pihak Polis sudah pun mengeluarkan kenyataan berkenaan insiden tersebut.

Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong Supt. Zaiham Bin Mohd Kahar, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSDPT) IPD Bentong telah menjalankan siasatan awal terhadap pemandu trak pikap dalam insiden yang berlaku di Jalan Janda Baik, Bentong, Pahang itu dan akan memanggilnya untuk memberikan keterangan.

“Jika didapati bersalah, pemandu pacuan empat roda (4×4) tersebut boleh dikenakan saman atas kesalahan memotong di kawasan garisan berkembar di bawah kaedah lalu lintas 167/59 iaitu Rule (12)(3)(A) yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau boleh dikenakan penjara tidak melebihi enam bulan penjara,” tulis kenyataan yang dikeluarkan.

Zaiham turut meminta mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk turut tampil memberikan keterangan.

Video dashcam berdurasi 48 saat berkenaan pada asalnya dimuatnaik oleh pemilik akaun Facebook Sheran Bin Tahir, dan kemudiannya turut dikongsi oleh laman-laman lain. Dalam video tersebut, pemilik dashcam itu terpaksa membuat brek kecemasan dan terus berhenti apabila Hilux yang datang dari arah bertentangan tidak berjaya memintas lori pada laluan sempit dengan garisan berkembar tersebut.

Ia turut menyebabkan anak kepada pemilik dashcam berkenaan yang dikatakan sedang tidur terjatuh dari tempat duduk. Turut dapat dilihat, pemandu lori yang sedang dipotong berkenaan turut memberhentikan kenderaannya bagi memberikan laluan kepada Hilux itu, namun ia masih tidak sempat untuk memotong sepenuhnya.

Malah setelah ‘terperangkap’ kerana tidak lepas memotong, sebaliknya pemilik dashcam tersebut pula yang terpaksa mengundurkan kenderaannya bagi memberi laluan kepada Toyota Hilux terbabit. Pemandu trak pikap tersebut sempat berhenti di sebelah kenderaan pemiik dashcam, dan berkata sesuatu termasuk yang sempat didengari, “ingatkan lori ni bagi laluan…” kepada pemandu kenderaan berkenaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required