Seperti yang kita tahu, setiap kali berlaku kemalangan di Malaysia, mereka yang disabitkan bersalah menyebabkan kemalangan berkenaan hanya akan menerima hukuman dari pihak berkuasa, sementara mangsa yang terlibat tidak akan menerima apa-apa pampasan. Namun menerusi berita Free Malaysia Today semalam, Mahkamah Persekutuan dilaporkan telah memutuskan bahawa mangsa kemalangan jalan raya perlu diberi pampasan secara automatik tanpa perlu menyaman syarikat insurans.

Menurut Hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Rahman Sebli dalam laporan berkenaan, hasrat Parlimen menggubal Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah untuk melindungi pengguna jalan raya pihak ketiga yang tidak bersalah, dan peruntukan dalam akta tersebut perlu ditafsirkan untuk melindungi semua pemandu, termasuk mangsa kemalangan jalan raya.

Rahman mengeluarkan kenyataan tersebut ketika mempengerusikan panel tiga hakim, dalam penghakimannya setebal 140 muka surat yang membenarkan rayuan membabitkan lapan pemandu berbeza, tujuh daripadanya cedera dalam kemalangan. Daripada lapan rayuan itu, lima melibatkan Pacific & Orient Insurance Co Bhd, Amgeneral Insurance Bhd, Allianz General Insurance Company (M) Bhd, dan Malaysian Motor Insurance Pool, tulis laporan berkenaan.

Panel yang dipengerusikan oleh Rahman tersebut turut disertai Hasnah Mohammed Hashim dan Rhodzariah Bujang, dan ia telah menganugerahkan kos RM150,000 kepada setiap pihak yang berjaya dalam rayuan berkenaan.

Walau bagaimanapun, Rahman turut menjelaskan bahawa semua pemilik kenderaan perlu mempunyai perlindungan insurans wajib bagi membolehkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan cukai jalan, dan jika kenderaan itu menyebabkan kecederaan pada mangsa, orang terbabit boleh menyaman pemilik atau pemandu kenderaan tersebut.

Beliau menjelaskan, ini kerana jika pemilik kenderaan mempunyai perlindungan insurans, syarikat insurans secara automatiknya akan membantu dan “menanggung kerugian” mangsa, tanpa mangsa perlu menyaman syarikat insurans. Dalam sesetengah kes, pampasan boleh mencecah jutaan ringgit dan syarikat insurans akan membayar ganti rugi kepada mangsa bagi pihak pemandu.

Menurut Rahman lagi, akta itu perlu mengimbangi dua kepentingan yang bersaing, iaitu pertamanya melindungi pihak ketiga yang tidak bersalah daripada risiko, tetapi dalam masa yang sama undang-undang perlu melindungi syarikat insurans daripada menjadi mangsa penipuan tuntutan.

Rahman turut memberitahu, dalam salah satu kes berkenaan mangsa telah kalah kerana membabitkan kaedah pemilikan “sambung bayar”. Menurutnya, pemilik kenderaan telah “menjual” kenderaan itu kepada pihak ketiga melalui kaedah tersebut, tanpa memaklumkan kepada syarikat insurans.

Kerana kesalahan yang dibuat oleh mangsa berkenaan, syarikat insuran berjaya meminta Mahkamah Tinggi mengisytiharkan dasar itu terbatal dan syarikat insurans enggan menanggung kerugian mangsa. Dengan perintah berkenaan, mangsa telah kalah dalam tuntutan tersebut.