Jualan tiket MotoGP lembab kerana cukai hiburan 25%: KBS bakal runding dengan MB Selangor

Jualan tiket MotoGP lembab kerana cukai hiburan 25%: KBS bakal runding dengan MB Selangor

Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) bakal kembali ke Malaysia bermula 21 hingga 23 Oktober ini selepas dua tahun ia tidak diadakan kerana pandemik Covid-19. Walaupun acara berkenaan dijangka sangat dinantikan oleh peminat sukan dua roda dalam negara, jualan tiket masuk ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk perlumbaan berkenaan dilihat lembab kerana cukai hiburan berjumlah 25% yang dikenakan oleh kerajaan negeri Selangor.

Sehubungan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan bahawa beliau bakal mengadakan rundingan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, minggu depan bagi membincangkan isu kenaikan harga tiket berkenaan, lapor Bernama. Ahmad Faizal berkata, kenaikan harga tiket itu dilihat menjadi antara faktor yang menyebabkan penjualan tiket MotoGP, bermula April lalu, masih belum mencecah 50 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Saya amat yakin kerajaan negeri Selangor juga akan memberi perhatian serius kepada perkara ini kerana ia juga melibatkan penjanaan ekonomi daripada aspek pelancongan masuk ke dalam negeri tersebut.

“Jadi, tentunya mereka akan memberi pertimbangan sewajarnya bagi memastikan lebih ramai pengunjung akan datang menyaksikan kejohanan MotoGP pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rukun Negara@Belia (RNB) di Ipoh, Sabtu lalu.

Perkara ini telah pun disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif pada 13 Ogos lalu. Beliau menjelaskan bahawa kelembapan penjualan tiket MotoGP pada tahun ini adalah disebabkan caj 25 peratus cukai hiburan yang dikenakan, menyebabkan tiket yang hanya berharga RM40 sebelum ini meningkat kepada RM90.

Walau bagaimanapun, Ahmad Faizal optimis sasaran 170,000 penonton ditetapkan SIC akan dapat direalisasikan berdasarkan komitmen dan pengalaman luas selaku penganjur utama kejohanan tersebut.

“Kalau sebelum ini kita dapat tarik sambutan sehingga 120,000 penonton, saya percaya SIC akan berusaha dengan lebih kuat untuk kejohanan kali ini. Kalau tak dapat melepasi sasaran pun tidak mengapa, asalkan kita dapat kekalkan rekod sedia ada juga sudah dikira baik,” katanya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required