UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan bahawa ia telah mencatatkan jualan sebanyak 9,091 unit kenderaan sepanjang Ogos 2022. Dari jumlah berkenaan, 8,961 unit daripadanya adalah kenderaan berjenama Toyota, dan 130 unit selebihnya adalah dari jenama Lexus.

Jumlah jualan berkenaan juga mewakili peningkatan sebanyak 2,454 unit kenderaan berbanding jumlah jualan 6,637 unit yang dicatatkan oleh UMWT pada Julai 2022, atau kenaikan sebanyak 37%.

Manakala untuk jualan kumulatif tahunan setakat ini pula, UMWT telah menjual sebanyak 61,639 unit kenderaan (Toyota dan Lexus) untuk lapan bulan pertama 2022, atau naik kira-kira 59% berbanding jumlah jualan 38,805 unit yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu – ketika itu industri automotif tempatan terjejas secara keseluruhannya kerana Covid-19.

“Pasukan di UMW Toyota Motor sangat bersyukur dengan sokongan kuat dan kami sentiasa bekerja keras bagi memacu produksi untuk memastikan kereta baharu dapat diserahkan kepada pemilik,” kata presiden UMWT, Ravindran Kurusamy.

UMWT turut mengumumkan bahawa ia akan melancarkan MPV tujuh-tempat duduk yang menggantikan Toyota Avanza iaitu Veloz ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Selepas tempahan model itu dibuka Jun lalu, syarikat tersebut menyatakan bahawa ia telah menerima tempahan sebanyak 5,200 unit Veloz sehingga kini.

Seperti diketahui, Veloz merupakan kembar kepada Perodua Alza 2022 yang juga baru dilancarkan pada 20 Julai lalu. UMWT sebelum ini telahpun mengumumkan bahawa Veloz bakal dijual pada harga anggaran atas jalan tanpa insuran RM95,000, atau RM20,000 lebih mahal berbanding varian tertinggi Perodua Alza AV. Apa perbezaan antara Veloz dan Alza? Kami sudahpun menyediakan satu artikel berkenaan perkara tersebut yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.