Perodua Ativa Hybrid – peserta program langganan kongsi pengalaman guna model CBU, RM500 sebulan

Perodua Ativa Hybrid – peserta program langganan kongsi pengalaman guna model CBU, RM500 sebulan

Oleh Victor Kan

Perodua Ativa Hybrid akhirnya sudah diserahkan, dan sebagai salah seorang daripada 300 pelanggan bertuahnya, saya kongsikan pendapat berkenaannya apabila dibandingkan dengan Ativa varian turbo biasa.

Setelah memandu kenderaan ini dalam kedua-dua keadaan trafik yang teruk di KL, serta lebuh raya merentasi negeri, saya rasa sekarang adalah waktu yang sesuai untuk membuat pengenalan kepada kereta hibrid pertama negara ini. OK, ini mungkin kedengaran sedikit melebih-lebih, kerana secara teknikalnya ia cuma sebuah Daihatsu Rocky eSmart Hybrid, tapi menggunakan lencana Perodua.

Nampak sama seperti Ativa Turbo, model Hybrid ini boleh dikenali dengan beberapa perbezaan apabila anda tahu apa yang perlu dicari. Mari mulakan di bahagian hadapan, yang menggunakan muka serba lain. Grilnya adalah lebih kecil dan terasing, bukannya seperti Turbo yang lebar dan bersambung rapat dengan lampu utama. Lampu kabus pula terletak dalam perumah berbentuk berlian, dan bukannya perumah bentuk T seperti versi Perodua. Ini menghasilkan rupa hadapan yang kurang agresif bagi model Hybrid ini.

Pergi ke bahagian tepi, satu lagi perbezaan – dan ini tidak boleh ditukar dengan senang oleh pengguna Ativa Turbo – adalah rim lima nat. Ativa Turbo menggunakan rim empat nat. Cermin sisi juga berbeza saiz, dengan model Hybrid mempunyai unit yang lebih kecil; dan jika anda lihat pada bahagian penumpang, cermin sisi itu mempunyai tambahan satu lagi cermin kecil yang kelihatan sangat JDM. Model Hybrid terletak lebih rendah berbanding Ativa Turbo, tetapi dalam dunia sebenar, ia tidak begitu ketara, melainkan apabila anda meletakkannya bersebelahan.

Untuk bahagian belakang, bagaimana untuk mengetahui Ativa di hadapan anda adalah versi Hybrid? Pertama sekali, logo Ativa pada pintu but tidak datang dengan lencana lain. Tiada lencana AV atau H, dan cuma ATIVA sahaja. Kemudiannya apabila melihat kepada bahagian bampar, perumah untuk pemantul cahaya – sama seperti hadapan – menggunakan bentuk berlian dan bukannya T seperti model Perodua. Juga, jika anda perhatikan pada bampar di bahagian sebelah pemandu, anda akan nampak lambu kabus. Sebagai bonus, tempat meletak nombor plet adalah lebih kecil dan berpadanan dengan dimensi plet Jepun, bukannya Malaysia.

Berkata tentang bahagian belakang, tahukah anda bahawa model Hybrid ini menggunakan pintu but yang dibuat daripada plastik? Ada kawan saya yang bertanya, “selamat ke?” Harap-harap selamatlah, memandangkan sekarang banyak kenderaan baru di Jepun menggunakan pintu but yang dibuat daripada plastik. Kelebihan plastik adalah jelas – pengurangan berat. Tapi jangan risau, ia kuat dan lasak – bukannya jenis plastik sama seperti sudu nasi lemak tu.

Masuk ke dalam dan tempat duduk pemandu, anda akan dapat merasakan suasana yang lebih kelam di dalam. Tiada kemasan merah pada tempat duduk, panel pintu, corong pendingin hawa atau papan pemuka, dan sebaliknya anda akan disambut dengan kabin yang bertemakan hitam, kelabu dan perak.

Bergantung kepada usia dan kegemaran, anda sama ada akan suka atau benci. Saya secara individu menggemarinya kerana selama ini saya memang suka bahagian dalam yang kurang sporty bagi kereta seperti ini. Mungkin pandangan ini akan berubah apabila saya memiliki Bugatti Veyron nanti. Tapi sebelum waktu itu sampai, saya suka bahagian dalam yang sederhana sama seperti kereta ini yang juga sederhana.

Sama seperti Ativa Turbo, kebanyakan bahagian menggunakan permukaan plastik yang keras, tetapi saya senang hati Perodua tidak memilih kemasan yang paling asas. Anda masih akan dapat menjumpai balutan ala kulit lembut di bahagian-bahagian penting seperti roda stereng, tombol gear, perehat tangan dan juga bersama dengan balutan tempat duduk fabriknya serta penyandar kepala.

Bahagian konsol tengah telah direka semula sepenuhnya, memandangkan model Hybrid ini menggunakan brek parkir elektronik (EPB) dan bukannya brek tangan biasa. Ini membenarkan penambahan dua tempat cawan yang besar. Bersama dengan EPB ini terdapat butang Auto Brake Hold. Saya dimanjakan dengan ciri ini dan sekarang saya rasa lebih malas apabila lebih banyak menggunakan kereta ini! Nanti saya ceritakan.

Model Hybrid ini masih mengekalkan pengawal pendingin hawa standard Rocky dengan dua tombol bulat. Saya rasa ini nampak lebih elok bersama bahagian lain, termasuk dua butang bulat di stereng serta bahagian tengah stereng. Tapi sekali lagi, ini cumalah cita rasa individu. Tiada fungsi memori pada pengawal ini.

Dengan itu, saya rasakan fungsi kawalan suhu automatik adalah lebih mudah untuk digunakan, tekan sekali dan lupakan. Jadi, tak kisahlah sama ada keadaan panas, atau sejuk, AC akan melaras sendiri sehingga suhu yang telah kita tetapkan. Malah, ia juga boleh sekadar mengeluarkan angin panas jika perlu. Sebagai bonus, terdapat pemanas untuk tempat duduk hadapan, tetapi saya rasa kita tidak akan memerlukannya di negara ini.

Perodua Ativa Hybrid – peserta program langganan kongsi pengalaman guna model CBU, RM500 sebulan

Ruang simpanan barang hampir sama, tetapi anda tidak akan menjumpai roda simpanan saiz sebenar di bawah papan lantainya. Sebaliknya, di situlah terletak bateri hibridnya, bersama beberapa ruang tersembunyi. Jadi, apa nak buat kalau tayar pancit? Kit tayar (pam elektrik) tersembunyi di bahagian tepi. Saya sangat menyukai ciri ini kerana saya tak nak kotorkan tangan dan baju, sebaliknya cuma perlu pam angin dan pandu kereta ke kedai untuk dibaiki. Kalau ditanya, saya rasa lebih banyak kereta perlu buat seperti ini. Dan model Hybrid juga ada lampu di kaki – menyala automatik apabila lampu dihidupkan – bestnya! (Ativa pun ada sebenarnya.)

Bagaimana pula dengan pengalaman pemanduan? Ini kan model hibrid. Tapi dengan sekarang sudah ada banyak jenis dalam pasaran, ia menggunakan jenis yang mana? Penjelasan yang paling baik adalah kereta ini berfungsi seperti sebuah kereta elektrik penuh (EV), tetapi tanpa sebarang kerisauan tentang jarak gerak.

Macam mana tu? Jawapannya terletak di sebalik label Hybrid, kerana kereta ini juga masih mempunyai enjin petrol biasa. Inilah yang menarik. Enjin petrol 1.2L itu hanya digunakan sebagai generator kuasa elektrik sahaja. Ia beroperasi untuk menghasilkan kuasa elektrik untuk menggerakkan motor elektrik (dan mengecas bateri) yang memacu kenderaan. Jadi, tiada transmisi CVT di sini, dan cuma ada motor elektrik sahaja.

Tekan sahaja pedal, kereta akan pergi dengan lancar, terus menerus, penuh tork dari awal, seperti yang sepatutnya bagi sebuah EV. Apabila enjin petrol 1.2L itu tidak berfungsi, kereta akan senyap dan diam sahaja. Rasa seperti kereta tidak dihidupkan pun. Sistem pendingin hawa juga dikuasakan oleh elektrik, yang mana adalah masuk akal.

Ativa Hybrid dilengkapi dengan mod pemanduan S-Pedal secara terus. Anda boleh padamkannya jika mahu. Seperti yang boleh dikenali melalui namanya, ini adalah operasi satu pedal yang membolehkan anda menggerakkan dan memberhentikan kenderaan menggunakan cuma satu pedal sahaja, tanpa menggunakan pedal brek. Brek cuma perlu digunakan apabila anda mahu berhenti mengejut.

Satu lagi peningkatan besar berbanding model Turbo adalah penambahan fungsi EPB dan Auto Brake Hold. Ia membenarkan kereta terus berhenti sehinggalah anda bersedia untuk jalan semula, tanpa menggunakan brek tangan setiap kali. Sangat berguna untuk keadaan trafik yang kerap jalan dan berhenti di bandar. Satu lagi ciri yang ditambah baik adalah Adaptive Cruise Control (ACC). Dengan adanya EPB, Ativa Hybrid boleh mengikut kenderaan hadapan dalam kelajuan rendah (sebagai daripada ACC), bermula dari kedudukan berhenti. Ini tidak dapat dilakukan oleh Ativa Turbo.

Ingat lagi tadi saya kata saya jadi makin malas apabila lebih banyak menggunakan kereta ni? Ia adalah kerana anggota badan saya kurang bergerak semasa memandu. Tangan kiri saya sentiasa di stereng, termasuklah dalam bandar kerana EPB dan Auto Brake Hold melakukan kerjanya dengan sempurna. Tak perlu nak tukar gear ke N, dan tak perlu tarik atau lepas brek tangan di lampu isyarat. Dan dengan S-Pedal, kaki kanan saya juga jarang bergerak dari pedal pendikit. Saya mula rasa macam seorang pemalas – di tempat duduk kereta!

Setakat ini semuanya kedengaran baik dan bagus, tapi mari kita lihat pula kekurangannya, atau perkara yang boleh ditambah baik. Sebagai permulaan, beberapa ciri telah dibuang daripada kenderaan asal Rocky Hybrid, dan kekurangan berbanding Ativa Hybrid.

Soket elektrik kecemasan 110V di bahagian ruang simpanan Rocky Hybrid tiada pada kereta ini. Awalnya saya berharap sangat dapat menggunakan kereta ini sebagai sebuah mini-camper, tapi sekarang saya perlu membawa sendiri sumber kuasa luar. Turut dicabut adalah head-unit Rocky, dan diganti dengan unit biasa sama seperti Ativa Turbo. Ini bermakna, tiada Apple CarPlay, Android Auto, butang kawalan tahap bunyi di stereng dan yang paling menyeksakan, kamera undur. Pemerhati titik buta juga tiada. Sedih, tapi itulah keadaannya.

Perodua Ativa Hybrid – peserta program langganan kongsi pengalaman guna model CBU, RM500 sebulan

Jadi dengan review kereta ini sudah selesai, apa pendapat saya tentang sistem pajakan (leasing) Perodua ini? Meskipun nama anda sudah berada pada geran dan insurans kenderaan, Ativa Hybrid yang cuma ada 300 unit ini secara teknikalnya cuma dipajak dan bukannya dijual. Bayaran awalnya adalah RM2,150, diikuti RM500 sebulan selama 60 bulan.

Bertentangan dengan pendapat orang tertentu, anda tidak dikira layak hanya kerana anda boleh membayar RM500 setiap bulan. Setiap pemajak yang berpotensi disaring terlebih dahulu, sama seperti apa yang dibuat jika anda mahu memohon pembiayaan sewa beli. Saya rasa Perodua mahu kepastian bahawa mereka tidak perlu tukar pemajak sewaktu di pertengahan tempoh program.

Semua perkara berkenaan servis, baik pulih, alat ganti lusuh, insurans dan cukai jalan ditanggung sepenuhnya oleh Perodua, jadi pemajak cuma perlu bayar duit petrol sahaja. Kereta ini juga dijangka cukup jimat, dengan penggunaan bahan api yang didakwa boleh mencapai 31 km/l. Saya masih belum capai tahap itu, tapi ia tidak lari jauh dan sudah cukup untuk membuatkan saya kagum. Walaubagaimanapun, had batuan kenderaan ini ditetapkan pada 100,000 km dan anda tidak boleh melakukan sebarang ubah suai padanya. Bagi mereka yang cuma mahukan sebuah kereta yang seronok dipandu dan jimat untuk pergi dari satu tempat ke tempat, ini adalah pilihan yang baik.

Perodua Ativa Hybrid – peserta program langganan kongsi pengalaman guna model CBU, RM500 sebulan

Saya gunakan Ativa Hybrid ini sebagai kenderaan utama untuk pergi kerja di Lembah Kelang dan saya menyukainya. Kereta ini tidak terlalu besar, mempunyai pandangan pemandu yang tinggi, rasa lincah dan mempunyai radius membelok yang kecil – terbaik untuk bergerak dalam trafik. Paling memuaskan adalah ia berfungsi seperti EV, jadi selain diam, ia juga boleh bergerak dengan senang termasuk waktu di dalam kesesakan trafik.

Kualiti binaan keseluruhan kenderaan juga adalah baik; mungkin kerana ia adalah sebuah model CBU dari Jepun. Ia juga tidak terkesan dengan banyak masalah kronik Ativa Turbo, seperti yang boleh dilihat dalam internet.

Salah satu sisi negatif pemilikan kereta ini adalah rasa terasing dengan orang lain. Tidak ada banyak forum yang dibuat khas untuk Ativa/Rocky/Raize Hybrid. Jadi, agak susah untuk mendapatkan sokongan atau jawapan kepada soalan spesifik tertentu – harap ini boleh berubah di masa hadapan apabila pemilikan Ativa/Rocky/Raize Hybrid semakin meningkat di dalam negara dan juga secara global.

GALERI: Perodua Ativa Hybrid

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required