Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa proses digitalisasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bukan hanya terhenti pada penyediaan kiosk layan diri yang kini diperluas ke lebih banyak lokasi dan waktu operasinya dipanjangkan di luar waktu pejabat.

Menurut Loke dalam hantaran akaun Facebooknya, selepas ini JPJ turut bakal memperkenalkan aplikasi telefon pintar yang bakal menawarkan servis sama seperti kiosk layan diri berkenaan, tetapi lebih selesa kerana ia boleh digunakan di mana sahaja.

“Proses digitalisasi JPJ tidak akan berhenti di peringkat kiosk sahaja tetapi kita akan terus berusaha menawarkan perkhidmatan melalui online.

“Bayangkan, pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan melalui aplikasi dalam smartphone anda! Kan mudah dan pantas? Ya, JPJ sedang berusaha ke arah tersebut!” kata Loke.

Ini bermakna selepas aplikasi berkenaan diperkenalkan kelak, kita bukan sahaja tidak lagi perlu beratur di mana-mana cawangan JPJ mahupun pejabat pos untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan kerana ia boleh dibuat secara atas talian dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Walau bagaimanapun, Loke masih belum memperincikan bagaimana lesen atau cukai jalan baharu tersebut akan diserahkan kepada pelanggan – sama ada melalui pos ataupun serahan di kaunter fizikal.

Buat masa sekarang anda sebenarnya sudahpun boleh memperbaharui cukai jalan dan juga lesen memandu secara atas talian menerusi aplikasi atas talian MyEG. Menerusi aplikasi ini, segala pembayaran juga dibuat secara atas talian dan dokumen yang telah siap akan dihantar ke rumah.

Manakala untuk kiosk layan diri, ia kini sudah berada di cawangan-cawangan JPJ, premis-premis kerajaan dan juga stesen MRT terpilih. Dengan kiosk tersebut, anda tidak perlu lagi berurusan di kaunter dan dokumen baharu seperti pelekat cukai jalan, lesen memandu mahupun sijil pemilikan kenderaan (VOC) akan dicetak menerusi pencetak yang dilengkapkan pada kios tersebut.