Susulan kemalangan maut yang membabitkan 14 buah kenderaan di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong, di Putrajaya semalam, polis hari ini akan mempertingkat operasi pemantauan terhadap kenderaan berat khususnya kenderaan perdagangan di ibu negara, lapor Bernama.
“Di Kuala Lumpur memang setiap hari kita menjalankan operasi pemeriksaan terhadap kenderaan berat ini, namun mulai hari ini kita akan pertingkatkan lagi operasi khususnya terhadap kenderaan perdagangan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid.
“Selain waktu operasi terhad iaitu 6.30 pagi hingga 9.30 pagi di ibu negara, kita akan beri tumpuan juga khusus di laluan masuk macam di Putrajaya dari Puchong, Selangor. Kalau berlaku perlanggaran yang memerlukan tindakan sita, kita akan ambil, tiada kompromi,” katanya.
Mengulas berkenaan insiden yang berlaku kira-kira 10.15 pagi semalam itu, Allaudeen berkata polis sedang menunggu laporan pemeriksaan daripada JPJ dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi memastikan sama ada aspek mekanikal treler menjadi punca kemalangan. Beliau turut tidak menolak kemungkinan kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu treler tersebut.
Allaudeen turut mengesahkan pemandu berusia 25 tahun itu telah ditahan semalam dan akan direman pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kemalangan tersebut telah mengorbankan dua penunggang motosikal, manakala tujuh lagi cedera selepas dirempuh sebuah treler membawa muatan pasir dari arah belakang ketika berhenti di lokasi kejadian. Kenderaan-kenderaan tersebut berhenti bagi memberi laluan kepada latih amal Polis Diraja Malaysia untuk acara berbasikal antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL).
Info : punca lori gagal brek dan akhirnya langgar kereta dan motor di bahagian depan. pic.twitter.com/XPou659X6p
— 🇲🇾 (@localrkyt) September 20, 2023
Menerusi beberapa rakaman dashcam dari kenderaan pengguna di lokasi kejadian yang tular di laman media sosial, kelihatan treler terbabit dipandu agak laju dan berada di lorong tengah sebelum mengubah laluan ke lorong kiri dan gagal berhenti sebelum tersasar ke lorong kanan. Kemudian ia merempuh kenderaan di bahagian hadapan dan sebelahnya serta melanggar susur jalan dan masuk ke jalan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori kecil.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai pekerja Pos Malaysia, Faris Haziq Abu Bakar, 25, dan pekerja di Mahkamah Ampang, Yuswar Mohd Uyus, 39. Secara keseluruhan kemalangan ini telah melibatkan 14 kenderaan iaitu treler terbabit, sebuah lori satu tan, tujuh kereta serta lima motosikal termasuk sebuah motosikal polis trafik.
Okay bukan salah polis pengiring. Ada lori bawa laju dan sauk semua kereta yang ada depan dia??? Astagfirulahalazim pic.twitter.com/bRuZhxH6XO
— Meowny (@syazmnnn) September 20, 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.