Susulan tularnya satu video memaparkan seorang kanak-kanak yang jatuh dari pintu belakang sebuah Honda City yang sedang membuat pusingan-U di Kota Bharu semalam, Polis Kelantan hari ini mengumumkan bahawa pihaknya sedang mencari ibu bapa kanak-kanak malang berkenaan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Mohd Suhaimi Ali dalam laporan Sinar Harian, kejadian itu berlaku di lampu isyarat Jalan Sultan Yahya Petra berhampiran pasar raya Billion Kota Bharu kira-kira jam 5.42 petang semalam.
Suhaimi turut menyatakan insiden itu dipercayai terjadi akibat kegagalan pemandu kereta terbabit yang tidak memastikan pintu penumpang sebelah kiri ditutup dengan kemas, serta tidak memastikan kanak-kanak tersebut untuk memakai tali pinggang keledar.
“Kes tersebut akan disiasat bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang melihat kejadian terbabit diminta tampil membantu siasatan atau boleh menghubungi talian 09-7752355,” katanya.
Dalam video berdurasi 1.01 minit yang tular dipelbagai media sosial sejak semalam itu, dapat dilihat kanak-kanak tersebut jatuh ke atas jalan raya selepas pintu belakang Honda City berwarna kelabu tersebut terbuka ketika membuat pusingan-U.
Tambah malang, kanak-kanak berkenaan turut dilanggar sebuah Perodua Ativa berwarna merah yang turut sedang membuat pusingan-U selepas beberapa kereta bejaya mengelak kanak-kanak berkenaan. Si kecil tersebut kemudiannya dilihat bangun kembali selepas dilanggar dan kemudiannya dia diselamatkan oleh seorang penunggang motosikal untuk dibawa ketempat selamat.
Pemandu kereta Honda City berkenaan dilihat seperti tidak sedar kanak-kanak tersebut telah jatuh dari kereta dan hanya berhenti jauh ke hadapan dari tempat kejadian. Keadaan kanak-kanak tersebut masih belum diketahui sehingga kini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.