Lebih dua tahun lalu Renault telah pun menghasilkan model konsep yang digelar sebagai Renault 5 Prototype, iaitu hatchback EV yang diinspirasikan dari hot-hatch lagendanya pada era 80’an, Renault 5 Turbo. Akhir bulan lalu pembuat kereta dari Perancis berkenaan sudahpun mengesahkan bahawa versi produksi Renault 5 EV berkenaan bakal dilancarkan ketika berlangsungnya di Geneva Motor Show 2024 pada hujung Februari dengan nama Renault 5 E-Tech.
Dan sebelum ia didedahkan secara rasmi, nampaknya rupa sebenar model berkenaan sudah pun tertiris menerusi lukisan paten yang didaftarkan dan disiarkan oleh Organisasi Harta Intelek Dunia (WIPO). Seperti yang anda boleh lihat, kebanyakkan rekaan dari model konsep sebelum ini diserapkan pada versi produksi, dan ia sudah tentu menyerupai versi asli Renault 5 yang mula diperkenalkan sejak 1972.
Antara perincian yang membuatkan hatchback EV ini menyerupai versi klasiknya adalah profil sisinya, dan juga rekaan lampu hadapan serta belakang. Ia juga ditambah dengan elemen rekaan lebih moden seperti tiang-A dan bumbung yang diwarnakan hitam bagi memberikan rupa seakan bumbung terapung.
Namun berbeza dengan Renault 5 asli yang tampil dengan badan tiga-pintu, versi produksi Renault 5 EV ini dihasilkan dengan badan lima-pintu. Walau bagaimanapun Renault telah mengalihkan pembuka pintu belakang ke bahagian bingkai cermin dan sekaligus ‘menyembunyikan’ kewujudan pintu tersebut.
Versi produksi Renault 5 EV ini juga nampaknya diberikan dua port pengecas yang terletak pada kedua-dua belah fender hadapan. Ia juga hadir dengan set roda menampilkan rim aloi bersaiz besar bersama rekaan jejari yang hampir sama seperti model konsep sebelum ini.
Menerusi perincian rasmi awalan yang telah didedahkan oleh Renault sebelum ini, Renault 5 EV ini akan dibekalkan dengan pek bateri 52 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 400 km dengan sekali cas berdasarkan kitaran ujian WLTP. Ia juga direka sebagai sebuah kereta kompak yang sesuai digunakan dalam bandar dengan panjang keseluruhan hanya 3,920 mm.
Renault 5 EV ini akan menggantikan tempat Renault Zoe yang sudahpun berada dalam pasaran sejak 2012. Menurut laporan Motor1, model ini diasaskan dari platform AmpR Small, iaitu platform EV yang diasaskan dari platform CMF-B Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi. Dan bagi mengurangkan kos pengeluarannya, ia akan berkongsi 70% komponen yang sama seperti Renault Clio.
Laporan itu juga menyebut model ini turut akan menampilkan konfigurasi suspensi jenis multilink di belakang bagi memberikan pengendalian yang tajam, malah versi prestasi dengan lencana Alpine turut akan dihasilkan. Berbanding Zoe yang diberikan 12 unit modul bateri, model penggantinya ini hanya akan menampilkan empat modul bateri bersaiz besar yang 15 kg lebih ringan.
Dalam perincian awalan yang diumum sebelum ini juga Renault telah menyatakan bahawa hatchback ini akan dijual pada harga sekitar ?25,000 (RM126k). Memandangkan Zoe sememangnya dijual oleh TC Euro Cars di Malaysia, mungkin Renault 5 ini turut akan dibawa ke pasaran tempatan kelak?
GALERI: Renault 5 Prototype 2021























