Porsche Macan EV 20204 ditunjuk di M’sia — hingga 639 PS/1,130 Nm, 613 km jarak; tempahan kini dibuka

Porsche Macan EV 20204 ditunjuk di M’sia — hingga 639 PS/1,130 Nm, 613 km jarak; tempahan kini dibuka

Selain Porsche Taycan facelift, ada sebuah lagi model EV yang turut dipamer ketika Porsche World Roadshow 2024: model Macan serba baru turut dipertontonkan untuk pertama kali di Malaysia sejak pengenalan globalnya Januari lalu.

Dijangka mula dijual dalam tahun ini juga, Sime Darby Auto Performance (SDAP) yang mewakili Porsche Malaysia kini mula mengambil tempahan bagi Macan generasi kedua ini. Dibangun menggunakan Premium Platform Electric (PPE), Macan menampilkan senibina 800V dan ditawarkan dalam dua varian: Macan 4 dan Macan Turbo.

Peralihan kepada platform EV khusus buat pertama kali ini juga membolehkan Macan dilengkapi penyerap hentak suspensi udara dengan dua-injap, yang merupakan kawalan penyerap hentak elektronik Porsche Active Suspension Management (PASM) buat pertama kali sebagai ciri standardnya.

Porsche Macan EV 20204 ditunjuk di M’sia — hingga 639 PS/1,130 Nm, 613 km jarak; tempahan kini dibuka

Stereng gandar belakang (sehingga lima darjah) juga merupakan ciri baru untuk Macan, dan ditawarkan sebagai pilihan untuk mengurangkan belokan pusingan kepada hanya 11.1 meter. Kedua-dua varian menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC) dengan kapasitu 100 kWh (95 kWh boleh diguna) dan mempunyai dua motor tetapan pacuan semua roda — dengan ciri Porsche Traction Management (ePTM) kawalan elektronik.

Motor elektrik bagi Macan 4 mampu menjana sebanyak 387 PS (382 hp atau 285 kW) output. Tetapi dengan overboost dan launch control diaktifkan, janaan akan mencecah 408 PS (402 hp atau 300 kW) dengan tork 650 Nm. Ini menjadikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, dan laju maksimum 220 km/j.

Macan Turbo pula lebih pantas dengan 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan laju maksimum 260 km/j. Ini kerana motor elektriknya menjana output 584 PS (577 hp atau 430 kW), sementara dengan overboost dan launch control akan memberikan output 639 PS (630 hp atau 470 kW) dan 1,130 Nm tork.

Porsche Macan EV 20204 ditunjuk di M’sia — hingga 639 PS/1,130 Nm, 613 km jarak; tempahan kini dibuka

Untuk cukai jalan, output sebesar ini akan dikenakan sebanyak RM515 untuk Macan 4, dan RM1,240 untuk Macan Turbo. Dari segi jarak perjalanan, kedua-duanya hanya dibezakan dengan 22 km sahaja — Macan 4 memberikan 613 km mengikut WLTP, manakala Macan Turbo memberikan 591 km.

Untuk pengecasan, Macan boleh menampung kapasiti DC maksimum sehingga 270 kW untuk pengecas 800V (10-80% dalam masa 21 minit), atau 143 kW dengan pengecas 400V (10-80% dalam masa 33 minit). Sekiranya dalam situasi 400V ini, suis voltan tinggi akan membolehkan agihan pengecasan bateri 800V kepada dua pecahan, dengan setiap satunya menerima 400V.

Ini didakwa membolehkan pengecasan lebih cekap dengan memerlukan booster HV tambahan untuk melonjakkan 400V kepada 800V. Ada juga pengecasan AC yang lebih perlahan sehingga 11 kW (0-100% dalam masa 10 jam) dan EV ini boleh mencana semula sehingga 240 kW melalui motor elektriknya ketika pemanduan.

Porsche Macan EV 20204 ditunjuk di M’sia — hingga 639 PS/1,130 Nm, 613 km jarak; tempahan kini dibuka

Dari segi dimensi, Macan generasi kedua lebih besar daripada model terdahulunya, dengan ukuran 4,784 mm panjang (+58 mm), 1,938 mm lebar (+11 mm), 1,622 mm tinggi (+26 mm) dan jarak roda 2,893 mm (+86 mm). Saiz lebih besar ini memberi kelebihan kepada ruang: 540 liter berbanding 488 liter sebelumnya. Dengan kerusi belakang direbahkan, ruang barangan akan menjadi seluas 1,348 liter.

Dengan ketiadaan enjin pula memberikan ruang tambahan 84 liter di depan, yang boleh dibuka dengan hanya menggerakkan tangan di lencana Porsche — gerakan yang sama juga akan membuka dua pintu pengecas di setiap sisinya.

Dari segi rekaan, Macan generasi kedua ini tampil dengan garis bumbung yang lebih rendah ala 911, menjadikannya berimej SUV lebih sporty. Bahagian depan juga dengan bahagian utama lebih rendah, dengan bukaan sayap lebih ketara dan disertai rekaan lampu utama terpisah. Kluster empat lampu di atas itu adalah LED DRL, dengan lampu utamanya diletakkan di kedudukan lebih rendah. Bagi varian Turbo, tirai udaranya lebih kelihatan dan disertakan dengan bilah warna badan.

Di belakang, lampu LED lebar penuh dengan ejaan Porsche mendominasi. Sedikit di atas, terletak spoiler adaptif yang akan diaktifkan ketika memerlukan lebih banyak downforce dan akan tersorok sekiranya tidak diperlukan. Dengan bukaan aktif penyejukan di bahagian depan, pelindung fleksibel di bahagian bawah badan kereta yang tertutup penuh serta tirau udara dan diffuser menjadikan bacaan rintangan anginnya 0.25.

Di dalam, Macan meminjam banyak persamaan dengan kabin Taycan, misalnya dengan kehadiran tiga paparan di papan pemuka. Dua daripadanya adalah ciri standard: kluster instrumen melengkung 12.6-inci serta skrin sentuh di tengah 10.9-inci. Sebagai pilihan, skrin sentuh untuk penumpang bersaiz 10.9-inci boleh ditambah.

Porsche Macan EV 20204 ditunjuk di M’sia — hingga 639 PS/1,130 Nm, 613 km jarak; tempahan kini dibuka

Satu ciri baru yang pertama kali ditampilkan untuk Macan ialah head-up display dengan augmented realiti yang boleh memancarkan imej kepada pemandu dengan jarak 10 meter dan bersamaan dengan saiz paparan 87-inci. Infotainmen dikenalikan oleh Porsche Communication Management (PCM) yang kini menggunakan Android Automotive OS. Fungsi seperti bantuan suara digital Hey Porsche, aplikasi boleh dimuat turun serta kesepaduan Apple CarPlay dan Android Auto turut tersedia.

Harga bagi Macan generasi kedua ini belum ada, tetapi memandangkan ia kini sebuah model EV yang diberikan insentif, dijangka harganya akan lebih rendah berbanding model sebelumnya, yang ketika ini dijual dengan harga dari RM469,000 hingga RM895,000.

Pilihan kustom juga banyak disediakan, termasuklah 72 pilihan warna badan (13 standard dan 59 istimewa) serta lapan rekaan rim. Ruang dalaman juga diberikan lapan pilihan warna dengan tujuh pakej dan empat pakej kemasan.

Porsche Macan Turbo 2024

Porsche Macan 4 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required